Sabtu, 8 Februari 2014

Prosedur Mendapatkan Rawatan di Hospital Kerajaan


Teks: Rozida Ismail

Jika anda mahu berurusan dengan hospital kerajaan, fikir dahulu banyak kali kerana anda perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 3 - 4 jam bagi menemui doktor. Semak dahulu adakah masalah yang dihidapi memerlukan rawatan di hospital kerajaan atau memadai merujuk pada klinik swasta sahaja. Biasanya caj klinik swasta antara RM30 - RM40 untuk rawatan biasa.  Jika tidak ada bajet, bolehlah mencari Klinik 1Malaysia. Saya amat menyokong inisiatif mengadakan klinik kerajaan seperti ini kerana ia menjimatkan masa golongan yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu ke hospital. Maklum sahaja, hospital pastinya terletak di bandar. Seandainya anda perlu juga ke hospital kerajaan, semak dahulu sama ada kes anda ini kritikal atau tidak berdasarkan senarai yang berikut:

Okey, sekarang anda pasti yang kes anda memang berat dan anda terpaksa juga ke hospital kerajaan. Sebaik sampai di perkarangan hospital, teruslah menuju ke Jabatan Kecemasan dan Trauma. Di sini anda perlu mendaftar di Kaunter Saringan. Mereka akan menentukan anda berada di zon mana, sama ada zon merah/kritikal, zon kuning/separa kritikal atau zon hijau/bukan kritikal.  Pesakit zon kritikal akan dirawat serta-merta. Pesakit separa kritikal dirawat dalam masa 15 minit manakala yang tidak kritikal perlu menunggu giliran.


Saya puji sikap seorang kakitangan di Hospital Ampang yang bertugas di kaunter saringan hari ini. Md Hishamri namanya. Beliau bertugas penuh mesra dan senyuman terukir di bibir. Pesakit yang agak kronik diberikan kerusi roda dengan segera. Rasa skeptikal tentang petugas di hospital kerajaan terlerai di hati. Terima kasih Saudara Hishamri. Bertugaslah dengan gembira dan jadi orang yang cemerlang. InsyaAllah, rezeki saudara akan mudah masuk. Saya doakan.


Selepas disaring, anda perlu ke kaunter pendaftaran. Anda akan diberi nombor giliran. Bayaran pendaftaran dikenakan sebanyak RM1 (warganegara) atau RM50 (warga asing). Manakala untuk UNHCR (United Nations High Commissioner for Refugees) adalah RM25. Selepas mendaftar, anda diberi nombor giliran dan diminta menyerahkan nota pesakit ke dalam bakul merah. Nota ini akan dihantar kepada doktor yang akan memeriksa anda. Jangan disimpan pula!


Selepas itu anda akan dipanggil untuk diperiksa (pemeriksaan suhu badan,  tekanan darah, denyutan nadi dan sedikit soalan. Jika perlu, sampel darah akan diambil). Anda akan disuruh tunggu lagi sehingga nombor dipanggil kembali. Pada ketika ini saya nasihatkan anda bersedia dengan bekalan makanan, bahan bacaan dan sebagainya yang boleh dimanfaatkan ketika menunggu giliran. Masanya memang lama. Jika anda kurang sabar, belajarlah mengawal kemarahan. Alihkan rasa kurang sabar atau kurang senang itu dengan perkara lain seperti apa yang saya sedang buat sekarang. Sekurang-kurangnya anda memberi manfaat pada orang lain. Giliran kali ini adalah untuk menentukan langkah seterusnya, mengenal pasti jenis penyakit yang dihidapi dan rawatan yang perlu diberikan. Selepas berjumpa doktor, anda perlu menunggu giliran untuk mendapatkan ubat. Jika perlu ditahan di wad, anda kenalah melalui proses pendaftaran masuk wad pula.

Apa yang saya bentangkan adalah pengalaman saya menghantar pembantu rumah saya ke hospital. Jika anda masih kurang faham atau ingin lebih kepastian, bolehlah merujuk prosedur yang dinyatakan dalam carta alir yang berikut atau telefon hospital untuk maklumat lanjut.

Apa yang penting, jaga kesihatan. Jika inginkan antibodi kuat, bolehlah pesan Transfer Factor dari saya. InsyaAllah anda tidak mudah diserang selesema, demam dan seumpamanya.

Tiada ulasan:

Catat Komen