Sabtu, 24 Ogos 2013

Tomasina


Pernahkah anda melihat buku ini di pasaran?  Saya sangat pasti bahawa jawapannya tentu "tidak pernah". Memang buku seperti ini sukar memasuki pasaran walaupun ceritanya menarik dan ilustrasinya cantik. Mari saya perkenalkan buku ini kepada anda.

Buku ini dihasilkan oleh mendiang Margaret H.L.Lim, seorang anak jati Sarawak. Beliau seorang bekas pendidik dan berkahwin dengan seorang warga Jerman. Walaupun menetap di Jerman, beliau sering berulang-alik ke negeri kelahirannya. Buku Tomasina merupakan buku kelima yang ditulis olehnya. Namun, Margaret sebenarnya lebih dikenali melalui penulisan Siri Payah yang mengandungi 4 buah buku. Siri ini berlatar belakangkan kehidupan Payah, seorang kanak-kanak Iban di persekitaran Kepulauan Borneo tersebut. Dikatakan sebenarnya penulisan ini dikutip daripada pengalaman hidup Margaret sendiri sewaktu kecil.

Berbalik pada buku Tomasina, buku ini sebenarnya mengisahkan kehidupan haiwan yang hampir pupus di Kepulauan Borneo. Terdapat tiga watak utama dalam buku ini, iaitu spider-bird, Bilun dan Tomasina. Jika dilihat pada kulit buku ini, ketiga-tiga watak tertera di situ. Tetapi siapakah Tomasina yang menjadi tajuk utama buku ini? Kenapa Tomasina? Untuk mendapatkan jawapannya, bolehlah beli buku ini dan baca.  Buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris dan sesuai untuk peringkat umur 9 hingga 12 tahun (dari sudut penguasaan bahasa). Ilustrasinya memang menarik dan jika anak anda mahu dibacakan, eloklah beli, baca dan terangkan pada mereka. Buku ini bertemakan persahabatan dan adab sopan.

Bagaimana hendak mendapatkannya? Mudah saja, boleh email saya atau tinggalkan email anda di ruang Order Form di sebelah kanan blog ini supaya saya boleh hubungi anda. Harganya cuma RM14.90 (USD4.50).

Menariknya, ilustrasi dalam buku-buku Margaret dihasilkan oleh anaknya sendiri Su-Jen Buchheim. Alangkan seronoknya jika kita boleh bekerjasama dengan anak atau suami untuk menghasilkan karya sebegini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan