Sabtu, 15 November 2014

Annyeonghaseyo Korea! (Part 1: Jutawan Korea)

Teks: Rozida Ismail
Gambar: Koleksi peribadi

Penghujung Oktober lepas saya berpeluang bercuti ke Seoul, Korea. Percutian itu memang tidak dirancang dari awal dan tawaran itu datang secara tiba-tiba sahaja. Itulah rezeki namanya. Oleh sebab ia tawaran mendadak, maka saya menyerahkan sepenuhnya tentang tempahan penginapan dan tour kepada rakan saya (asalnya kami bercadang pergi berempat, tetapi suami menarik diri di saat akhir kerana hal yang tidak dapat dielakkan). Pada hari  saya berlepas, barulah saya mencari money changer untuk menukar duit. Pada mulanya memang saya tidak faham bagaimana tukaran wang Korea (Korean Won = W). Rupa-rupanya ia menggunakan ratusan ribu dan juta juga seperti Rupiah Indonesia. Tetapi nilainya tinggi, setaraf Dollar Amerika. Sepuluh ribu won bersamaan RM34. Andai kata anda mempunyai masa, buatlah tukaran di Giant Klana Jaya kerana di situ lebih murah. Kawan saya dapat nilai yang lebih tinggi, iaitu RM32.80 untuk W10,000. Kadang-kadang ada orang yang agak keliru dengan nilai tukaran. Saya jelaskan di sini, jika menukar duit asing carilah nilai tukaran yang lebih rendah. Di KLIA, banyak bank menawarkan tukaran wang seperti CIMB, Maybank dan RHB. CIMB dan Maybank menawarkan tukaran sebanyak RM34 untuk W10,000. Manakala RHB menawarkan harga lebih rendah iaitu RM33. Tetapi pada hari itu RHB telah kehabisan stok W. Begitu juga, saya menukar duit di Bangi Gateway sebelum ke KLIA dan hanya tinggal W500,000.00 sahaja. Pelanggan selepas saya terpaksa berputih mata kerana gagal menukar wang, tetapi penerbangannya pada hari berikutnya. Nampaknya ramai betul orang kita melancong ke Korea. Untuk makluman juga, nilai tukaran akan berubah setiap hari. Bagi melengkapkan pakej sebagai Jutawan Korea, saya terpaksa menukar wang lagi di KLIA.

Rezeki yang Allah nak beri datang berbagai-bagai cara. Kami cuba buat self-check in di KLIA. Setelah beberapa kali percubaan, kami gagal melakukannya. Mesin meminta kami ke kaunter.  Pegawai memaklumkan ada masalah kerana kapal terbang penuh (Hah?!) dan kerana itu kami terpaksa dipindahkan ke Business Class (Wow! Tapi kami maintain cool saja dan senyum-senyum sesama sendiri). Yalah.. apabila di Korea kita menjadi jutawan jadi kenalah naik kelas bisnes.
Tidak rugi naik MAS.. Biasanya kelas ekonomi boleh dinaik taraf ke kelas bisnes dengan sedikit bayaran.
Rezeki kami, ianya percuma sahaja.
Susun dulu beg dan anda boleh duduk
sambil menunggu bas. Ini wajah Yikshun.

Perjalanan ke Seoul memakan masa selama 6 jam 15 minit. Dengan layanan mesra dan tidur yang selesa (boleh baring..) perjalanan jauh itu tidak begitu terasa. Sedar-sedar kami sudah tiba di ruang udara Seoul.  Tiga hari pertama kami menggunakan khidmat tour guide.  Pemandu pelancong kami orang tempatan yang lahir di Seoul dan fasih berbahasa Inggeris. Mungkin biasa melayan pelancong Malaysia, dia juga boleh bertutur sepatah-sepatah perkataan Melayu seperti perkataan makan, sedap, cantik. Dan yang menariknya, dia tahu waktu-waktu solat seperti zohor dan asar. Yikshun menyambut kedatangan kami di airport. Percutian bajet ini banyak menggunakan public transport. Kami diberikan kad T-Money yang setaraf dengan kad touch&go di Malaysia. Dengan T-Money kami boleh menaiki semua pengangkutan awam di Korea kecuali teksi. Dari airport kami menaiki bas ke hotel. Hotel kami terletak di kawasan Myeongdong maka bas yang dinaiki bernombor 6011. Tambang sehala ialah W15,000.
Perjalanan dari airport ke Myeongdong selama 1 jam lebih. Jutawan Korea ini mampu naik bas sahaja.. :)

Bersambung ...