Ahad, 5 Januari 2014

Bahayanya Wanita

Teks: Rozida Ismail

Betulkah wanita berbahaya? Hmm ... seperti perumpamaan, air yang tenang jangan disangka tak ada buaya, begitulah juga seorang wanita. Setenang-tenang seorang wanita, tidak semestinya jiwanya tidak berkocak. Dan bila jiwanya berkocak, pastilah kocakannya memberi tempias pada orang keliling. Manakala wanita yang kepoh pula bukanlah sentiasa kepoh. Pasti akan ada saatnya dia menjadi tenang disebabkan pengaruh persekitarannya. 


Tirai 2013 saya tutup dengan membawa seisi keluarga menonton persembahan teater Bahayanya Wanita di Istana Budaya. Sudah beberapa hari sebelum itu saya cuba untuk membeli tiket, malangnya tidak berkesempatan. Anak-anak sudah merengek hendak menonton kerana pelakon-pelakonnya hebat terutamanya Zizan Razak, Erra Fazira, Johan As'ari, Nora Danish, Lana Nordin. Itu yang anak-anak kenal. Selain itu pendokong utamanya juga ialah Umie Aida, Erma Fatima dan Ziela Jalil. Tidak disangka-sangka Erma Fatima memegang watak penting sebagai Suti Lambung, seorang janda dari Indonesia yang akhirnya menjadi isteri keempat Syed Maadon Al-Attas. Melihat pelakon dan sinopsis ceritanya  memang pastilah kisah ini penuh dengan kelucuannya. Jika berdasarkan tajuk, teater ini macam sebuah drama berat.

Selain aktiviti snorkeling di Pulau Pangkor dan mencuba ice-skating di Sunway Pyramid, menonton teater ini adalah pengalaman baru bagi anak-anak saya pada cuti sekolah kali ini. Sebelum ini mereka pernah menonton teater Gamat lakonan Amy Mastura dan kemudian teater Upin Ipin. Bertitik-tolak daripada pengalaman itu, mereka sudah jatuh cinta pada teater. Mujurlah mereka semakin membesar, jadi bolehlah kesemuanya dibawa menonton kerana had umur untuk ke Istana Budaya ialah 6 tahun ke atas. Seperkara yang perlu diingatkan sekiranya membawa anak-anak menonton teater, pakaian mestilah kemas dan berkasut. Tidak dibenarkan memakai selipar dan t-shirt tidak berkolar. Anak-anak bertanya, mengapa begitu? Saya hanya menjawab, untuk menjaga prestij sebuah 'istana' maka perlulah mengenakan pakaian yang kemas. Lagipun susunan tempat duduk di Istana Budaya (jika membeli tiket di upper circle yang paling murah) agak curam. Jadi memang tidak sesuai untuk memakai selipar, bimbang akan tergelincir.

Persembahan bermula jam 8.30 malam. Di sini disediakan surau yang selesa. Tempat parkir pun banyak, jadi kami tidaklah tiba terlalu awal. Sebaik sampai di situ, saya bergegas ke kaunter tiket. Mujurlah tiket masih ada untuk persembahan malam itu. Saya sudah berniat, jika tiket sudah habis saya akan membeli untuk persembahan malam esoknya. Mungkin sudah rezeki anak-anak dapat menonton malam itu. Usai solat maghrib di surau Istana Budaya (IB), kami mengalas perut dengan sandwic yang ada dijual di ruang legar IB. Harganya sama seperti yang dijual di stesen minyak Petronas, cuma RM2.50 untuk satu pek. Jika datang lebih awal, bolehlah makan malam dengan sempurna di cafe IB. Saya tidak pernah mencubanya, jadi tidak dapatlah hendak mengesyorkan sama ada harga di situ berpatutan atau sebaliknya.

Beza menonton wayang dengan teater, pelakon boleh bertindak balas dengan penonton secara spontan. Ada kalanya mikrofon Zizan tidak berfungsi dengan baik, jadi dia terpaksa berkongsi dengan Johan As'ari. Gelagatnya menimbulkan ketawa penonton. Pastinya babak ini timbul secara tiba-tiba. Pandangan saya tentang cerita ini ~ walaupun pengakhiran cerita menyalahkan keempat-empat isteri Syed Maadon tetapi bagi saya Syed Maadonlah yang bersalah. Dia gagal menjadi suami yang tegas terhadap isteri-isterinya. Memang cerita bermadu seperti ini agak klise. Selalunya wanitalah yang dipersalahkan.  Ada juga babak yang agak bosan sehingga si kecil saya bertanya, bila nak habis? Mujurlah sepanjang 4 jam teater ini berlangsung terdapat waktu rehat. Bolehlah mengendurkan urat-urat belikat yang tegang walaupun hanya 15 minit.
Zizan sebagai Syed Maadon.

Setelah tamat, penonton diberi peluang untuk mendapatkan autograf pelakon tetapi hanya dalam tempoh 30 minit sahaja. Barisan peminat yang menunggu agak panjang, saya memang jangkakan tidak akan sempat untuk mendapatkan autograf mereka jika anak-anak beratur. Tetapi saya memberi mereka peluang untuk melihat pelakon tersebut secara dekat. Sedar tak sedar abang sudah berada  paling hadapan berdekatan dengan tali penghadang untuk mengambil gambar pelakon-pelakon itu. Sementara si adik pula berdiri berdekatan dengan pintu keluar. Dapatlah mereka melihat gelagat artis pujaan mereka secara langsung. Dalam pada itu, muncul juga artis yang turut menonton teater seperti Acong dari kumpulan Sweetchild, jadi abang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya. Jadilah, tak dapat hendak bergambar dengan Zizan dengan Acong pun cukuplah.
Abang dengan Acong Sweetchild


Bergambar dengan Syanie, yang turut berlakon sebagai isteri Ustaz Jon (Johan As'ari)

Erra, sempat bawa anak yang tidak berenggang dengan botol susunya.

Nora Danish, juga membawa anaknya (tetapi tidak kelihatan dalam gambar ini). Nora berlakon sebagai Farhana, isteri ketiga  Syed Maadon yang sentiasa mengugut  untuk membunuh diri. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan