Selasa, 4 Februari 2014

Kebangkitan Anak Muda Melayu

Teks: Rozida Ismail

Semasa mengikuti program 'leadership' baru-baru ini saya melihat ramai anak muda Melayu yang sudah ada perniagaan sendiri walaupun mereka masih menuntut. Saya sangat gembira melihat fenomena ini. Sudah ramai anak Melayu yang tidak mengharap pada pekerjaan makan gaji lagi. Dari peringkat universiti lagi mereka sudah pandai berdikari. Ada beberapa contoh yang saya mahu ketengahkan. Semoga kegigihan mereka ini dapat menjadi inspirasi kepada anak muda lain.

Kes 1:
Gadis ini baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat diploma. Beliau anak tunggal. Gadis kecil molek yang lemah lembut ini mempunyai kekuatan dalaman yang sangat tinggi. Beliau sudah mempunyai perniagaan sendiri walaupun memasarkan produk orang lain. Pendapatan bersihnya mencecah RM3000 sebulan. Dengan itu beliau mampu memiliki dua buah kereta (satu dijadikan kereta sewa). Beliau hanya fokus berniaga melalui instagram sahaja.

Kes 2:
Seorang ibu muda yang hafizah. Beliau hanya belajar menyolek secara sambilan. Sedikit demi sedikit, atas permintaan pengantin yang disoleknya beliau membuka butik pengantin. Pendapatannya pada hujung minggu boleh mencecah RM5000. Bayangkan, dengan bekerja pada hujung minggu sahaja beliau mampu menjana pendapatan RM20,000 sebulan.

Kes 3:
Gadis ini baru berusia 26 tahun. Selepas tamat universiti beliau dihantar oleh bapanya untuk mengurus syarikat milik keluarga yang mempunyai hutang mencecah RM3 juta. Tanpa pengalaman, beliau terpaksa menghadapi tekanan daripada pembekal untuk mendapatkan bayaran. "Hari-hari saya menangis ..." rintihnya. Setelah 3 tahun menerajui syarikat jual beli kelapa sawit, beliau berjaya mengurangkan bebanan hutang sedikit demi sedikit dan kini hanya tinggal 10 peratus sahaja lagi yang perlu diselesaikan. Di samping itu juga beliau berjaya menubuhkan satu syarikat miliknya sendiri yang mempunyai kaitan bisnes yang dijalankan oleh syarikat keluarganya.

Banyak lagi kisah-kisah kejayaan anak muda yang saya peroleh ketika mengikuti program tersebut. Ramai juga yang sudah bergelar jutawan. Namun mereka ini kelihatan seperti biasa-biasa sahaja. Insya-Allah, jika ada peluang saya ingin membukukan kisah kejayaan mereka sebagai sumber inspirasi orang lain. Pastinya mereka mempunyai pengalaman suka-duka dalam mengendalikan perniagaan.

2 ulasan: