Khamis, 31 Oktober 2013

Kuatkan pertahanan badan!

Teks: RoZida IsmAiL

Saya jarang mendapat demam. Boleh dikatakan dalam setahun, mungkin hanya sekali sahaja saya demam. Tetapi selesema dan batuk mudah menyerang. Saya tidak suka batuk kerana selalunya ia berpanjangan. Jika mengambil ubat batuk pun, masalah batuk sangat payah untuk reda.  Saya tidak suka makan ubat batuk! Rasanya ramai yang tak sukakan ubat batuk. Tetapi agak pelik kerana ada juga yang ketagihan ubat batuk sehingga ia menjadi ubat kawalan dan tidak boleh dibeli di kaunter.

Baru-baru ini ketika outstation tiba-tiba tekak saya terasa perit, tanda-tanda awal untuk mendapat batuk. Saya mesti banyakkan minum air suam dan tidak mengambil air gas atau minuman sejuk berais. Saya juga membeli gula-gula untuk melegakan kerongkong. Alhamdulillah, batuk tidak ketara walaupun ada sikit-sikit. Saya selalunya mengambil supplemen Transfer Factor, 3 biji TF Advance dan 5 biji TF Plus setiap hari bagi meningkatkan daya imunisasi badan. Tetapi semasa outstation saya sengaja tidak membawanya. Pulang dari outstation, badan saya terasa agak lemah, mungkin keletihan. Hingus meleleh dan saya bersin bertalu-talu ketika mahu turun dari kapal terbang. Esoknya saya banyak berehat, tidur dan tidur kerana saya juga terpaksa makan pil selesema yang membuatkan saya begitu mengantuk.  Saya juga terus mengambil Transfer Factor kerana yakin supplemen ini boleh meningkatkan imunisasi diri. Hanya dua kali makan ubat selesema dan beberapa kali menghisap gula-gula pelega kerongkong, Alhamdulillah dengan izin-Nya selesema dan batuk saya terus baik. Selalunya tidak begitu. Jika selesema, pastinya berhari-hari sehingga habis ubat yang diberi doktor dan jika batuk pula boleh makan minggu... Saya betul-betul yakin dan dapat rasakan bahawa Transfer Factor merupakan agen untuk meningkatkan daya imunisasi diri.

Dikhabarkan bahawa di Rusia, hospitalnya menggunakan Transfer Factor untuk merawat penyakit biasa seperti demam, selesema atau batuk. Mereka tidak memberikan pesakit terutamanya kanak-kanak dengan antibiotik kerana ia memberi kesan sampingan untuk jangkamasa yang panjang. Keburukan tentang antibiotik juga pernah saya dengar daripada doktor sendiri. InsyaAllah, saya akan cuba berikan anak-anak saya Transfer Factor menggantikan antibiotic. Jika anda ada pengalaman sendiri menggunakan Transfer Factor ini, bolehlah berkongsi di sini.

Selasa, 29 Oktober 2013

Lagi tentang hobi

Teks: Rozida Ismail

Hari ini saya masih ingin bercerita tentang hobi. Kadang-kadang orang mempunyai hobi yang sama seperti orang lain, tetapi cara mereka mengapresiasi hobi itu yang berlainan. Di situlah timbul keunikan dan keistimewaannya. Baru-baru ini saya ke Kuala Terengganu. Ketika menaiki teksi dari lapangan terbang ke hotel, saya ternampak puluhan duit syiling pada cermin teksi tersebut. Pemandu teksi mengatakan bahawa duit syiling itu dari pelbagai negara. Bagus juga cara pak cik itu mengapresiasi hobinya mengumpul duit syiling dengan melekatkannya pada cermin kereta. Mudah dilihat oleh penumpangnya. Jika penumpangnya warga asing, pastinya mereka dengan rela hati memberikan duit syiling negara mereka pada pak cik itu.
Pelbagai jenis duit syiling pada cermin teksi ini menarik perhatian saya.
Saya perhatikan pada sesetengah bahagian, ada ruang kosong. Mungkin duit syiling itu jatuh, pada fikiran saya. Tetapi pak cik itu menjelaskan bahawa ruang itu sengaja dibiarkan kosong. Jika penuh, nanti tiadalah pelawat ingin memberi lagi, terang pak cik itu. Pandai juga pak cik ini main psikologi.

Sepanjang perjalanan, sempat juga saya berbual dengan pak cik itu tentang Air Terjun Sekayu yang popular di Kuala Terengganu suatu ketika dahulu kini sudah kurang dikunjungi kerana adanya virus kencing tikus. Katanya mungkin kencing tikus terkena pada tin minuman yang dijual kerana kita tidak sedar apa yang melekat padanya. Dia menasihati supaya membasuh semua tin minuman atau makanan sebelum dibuka supaya makanan itu benar-benar bersih luar dalamnya. Betul juga kata pak cik .. Nasihat yang sangat berguna untuk diamalkan oleh semua ..

Ahad, 27 Oktober 2013

Sutera untuk dijual

Teks: Rozida Ismail

Sejak kecil saya sangat suka bergaya. Siapa yang tidak ingin kelihatan cantik? Kita tidak perlu barang berjenama atau pakaian mahal untuk bergaya. Apa yang perlu ialah gaya itu kena pada tempatnya. Jika ingin bergaya, bolehlah suai padan pakaian yang ada supaya kita tidak kelihatan sama hari-hari. Begitulah yang terjadi ketika saya masih bersekolah dahulu. Saya tidak suka mengenakan pakaian yang sama setiap hari (kecuali baju sekolah). Pernah ketika pergi kelas tambahan, saya menggayakan baju yang bertali halus. Keesokan harinya ramai kawan perempuan sekelas memakai baju sedemikian. Pada hari yang lain pula saya mengenakan baju kurung dengan kain batik. Esoknya ramai yang ikut memakai baju kurung. Tidak pula saya sangka cara saya berfesyen akan menjadi ikutan ketika itu.

Perasankah anda apabila membeli pakaian, kita sering memilih warna yang sama iaitu warna kegemaran kita. Cuba buka wardrobe, adakah pakaian anda pelbagai warna atau warna yang hampir sama sahaja? Memilih warna kegemaran sering terjadi pada saya. Sebab itu saya tiada masalah jika membeli tudung tanpa membawa baju baru. Saya boleh mengagak warna yang bagaimana kena dengan baju kerana saya akan memilih warna kegemaran yang sedap dipandang mata.  Untunglah zaman sekarang ada dijual tudung tiga lapisan warna. Lebih mudah untuk suai padan dengan lebih banyak baju.

Tentang pakaian, saya sangat obses pada sutera. Saya sangat sukakan sutera crepe kerana kainnya sejuk dan berkualiti. Lebih-lebih lagi sekarang bunga pada sutera dilekatkan batu-batu swaroski bagi menaikkan serinya dan menambah elegan pada si pemakai. Sutera sesuai digayakan di majlis-majlis rasmi kerana nampak eksklusif. Ada orang tidak suka memakai sutera kerana malas hendak menggosok. Sebenarnya menjaga sutera tidak susah. Saya mencuci sutera dengan sabun yang sesuai dengan fabrik sutera. Kemudian dijemur dalam bilik air sahaja kerana cahaya terik boleh cepat memudarkan warnanya. Lagipun sutera cepat kering. Apabila menggosok, renjis sedikit dengan air supaya kedutannya mudah diluruskan. Oleh sebab sutera ialah pakaian eksklusif, maka kita hanya memakai sekali-sekala. Jadi apa salahnya beri sedikit masa untuk pencucian.

Ini adalah sutera pilihan saya. Designnya memang cantik..
video

Khamis, 24 Oktober 2013

Mekap Kereta

Teks: Rozida Ismail

Pernah tengok kereta yang dimekap beria-ia seperti di atas? Pada yang pertama kali melihatnya pasti akan menoleh berkali-kali kerana seakan tidak percaya kereta sebegini wujud di atas jalan raya. Ketika ke bengkel aksesori kereta baru-baru ini, saya berkesempatan melihat secara dekat kereta yang dihias dengan penuh imaginasi oleh tuannya. Interior pula dipenuhi oleh peralatan senjata api pelbagai jenis pistol dan seumpamanya. Mulanya saya takut untuk mendekatinya kerana kereta itu kelihatan menggerunkan bagi jiwa saya yang sentimental ini.. tetapi keramahan tuan punyanya yang mengusahakan spa kereta membuatkan saya berani mengambil gambar secara dekat dan menemubual tuannya secara santai.
Inilah Colin, tuan punya Nissan Grand Livina yang diubah suai. 
Colin Au Kong Wen, berusia 40 tahun sedang tekun membelek gajet yang tidak dapat dipastikan apa sebenarnya ketika saya mengintai-intai keretanya itu. Dia sangat fasih berbahasa Melayu. Katanya minat yang mendalam membuatkan dia tidak sayang untuk berhabis ribuan ringgit untuk menghiasi keretanya itu. Sudah RM40,000 dihabiskan untuk menambah aksesori kereta. Dia juga memasuki banyak pertandingan dan saya lihat banyak piala kemenangannya dipamerkan di spa kereta miliknya itu. Namun jika dibandingkan hadiah tunai yang dimenangi, sangatlah tidak berbaloi kerana hadiahnya hanyalah ratusan ringgit sahaja.
Barisan piala kemenangan dan keratan akhbar tentang pencapaian Colin.
Jika sudah menjadi minat, berapa pun sanggup dibelanja dan apa pun boleh dilakukan. Bagusnya minat ini ialah ia menanam daya imaginasi seseorang dan mengajak kita berfikir di luar kotak. Saya juga melihat sebuah kereta Kancil diubah suai dan memiliki enam tayar seperti lori. Banyak lagi kereta-kereta pelik yang dapat disaksikan kelainannya.
Cerita tentang kemenangan Colin.
Saya pasti sangat ramai orang yang memiliki hobi yang luar biasa,  tidak seperti orang lain. Jika anda mempunyai kenalan yang mempunyai hobi-hobi pelik, bolehlah dikongsi bersama.

Sabtu, 19 Oktober 2013

Teknik Cross Selling

Teks: Rozida Ismail

Malam semalam saya perlu pergi ke sebuah hotel untuk menyerahkan barang kepada seorang kenalan. Sebaik sahaja memasuki parkir hotel tersebut, saya membuka tingkap cermin auto kereta untuk mengambil tiket parking. Tiba-tiba terdengar bunyi 'menggelegak' pada tingkap itu dan cermin yang diturunkan tidak mengikut paksinya. Sudah .. hati saya berdetik bahawa duit perlu keluar untuk membaiki motor cermin auto yang pastinya memakan ratusan ringgit. Saya tidak jadi meninggalkan kereta kerana cermin gagal dinaikkan akibat kerosakan dalaman. Akhirnya saya terpaksa keluar dari parkir dan berjumpa dengan rakan saya itu di tepi hotel sahaja. Mujur juga apabila sampai di rumah, saya cuba menarik cermin perlahan-lahan dan berjaya menutup tingkap kereta sepenuhnya.

Hari ini saya terpaksa membawa kereta ke kedai aksesori kereta untuk membaiki motor cermin kereta itu. Risau juga jika harganya melampau-lampau atau tiada alat ganti. Susah juga jika cermin kereta tidak boleh diturunkan terutama ketika mengambil tiket parking. Selepas diperiksa saya diberitahu bahawa hanya gamnya sahaja yang sudah cair. Kos mengganti gam bersama upahnya hanyalah RM15. Tetapi pekedai menegur cermin lampu kereta yang kelihatan kusam. Katanya ada bahan yang boleh mencuci hingga kelihatan bersinar dan kemudian cermin lampu itu dilapisi sejenis plastik agar sinarnya kekal beberapa tahun. Kosnya RM80. Memikirkan yang lampu itu mesti kerap dicuci, suami memutuskan untuk mendapatkan khidmat cucian itu. Jadi kos keseluruhan hari itu ialah RM95.

Sebenarnya apa yang ditawarkan oleh pekedai itu ialah teknik cross selling. Jika dia tidak cekap mata, hari itu dia hanya dapat RM15 sahaja daripada saya. Kerana kepekaannya, maka dia dapat lagi RM80. Mungkin margin keuntungannya RM40. Setiap aktiviti jualan elok disertai cross selling. Cara ini banyak dipraktikkan oleh bank. Perasankah anda jika memohon pinjaman perumahan misalnya, anda juga akan ditawarkan insurans, kad kredit, dan mungkin juga pinjaman ASB. Ini kerana semua dokumen telah ada, jadi anda hanya perlu tandatangan sahaja pada borang berkaitan. Bukankah ini memudahkan pelanggan?

Jangan lupa untuk praktikkan teknik cross selling semasa bertemu atau berbual dengan pelanggan. Sentiasa tawarkan apa yang anda ada kerana jika anda tidak menyatakannya, mana mungkin pelanggan tahu apa yang anda jual.

Khamis, 17 Oktober 2013

Selamat hari jadi, emak! al-Fatihah untuk abah

Teks: Rozida Ismail

10.10.13 merupakan hari jadi emak saya yang ke-77. Ini tahun kedua emak menyambut hari jadi tanpa abah di sisi. Setelah dikira-kira rupa-rupanya hampir 54 tahun emak hidup di samping abah. Tapi kecekalan emak tidak menampakkan dia 'kehilangan' abah. Jauh di sudut hati, saya tahu dia memang sentiasa mengingati abah. Hari raya haji baru-baru ini emak meminta rakannya buatkan wajik. Sebenarnya itulah makanan kegemaran abah ketika hari raya.

Saya tahu susah senang emak dan abah mengharungi kehidupan sejak kami kecil-kecil lagi hingga abah bersara. Malah kehidupan abah sejak dari kecil lebih susah daripada itu. Abah seorang yang yatim piatu sejak kecil lagi. Abah selalu menceritakan kisah hidupnya semasa kecil kepada kami. Tetapi di penghujung usianya abah dikurniai kehidupan yang senang. Hari-hari tua emak dan abah dihabiskan bersama-sama tanpa banyak masalah. Mungkin kerana semasa hayatnya abah seorang yang sangat suka membantu orang. Pernah suatu ketika abah membawa balik seorang pengemis untuk diberi makan dan menumpangkan seorang bekas banduan di rumah kami buat beberapa hari.

Emak pula seorang yang sangat prihatin dan mengambil berat tentang jiran tetangganya. Sifatnya yang ramah sangat disenangi oleh jiran dan kenalannya baik Melayu, Cina mahupun India. Kerana itu emak mempunyai ramai anak angkat. Pernah suatu ketika jiran kami, seorang warga emas berbangsa Cina yang tinggal bersendirian tidak kelihatan sejak pagi. Menjelang malam rumahnya gelap gelita. Emak yang prihatin meminta seorang jiran berbangsa Cina yang lain menelefon anak warga emas tersebut. Rupa-rupanya emak ada menyimpan nombor telefon anak warga emas itu kerana kata emak, "senang jika apa-apa hal berlaku kerana apek itu tinggal seorang." Betullah telahan emak kerana apabila anak warga emas itu datang, dia mendapati bapanya sudah meninggal dunia di bilik air! Jika tidak kerana keprihatinan emak, pasti mayat orang tua itu terbiar lama. Emak sebenarnya ikon 1Malaysia yang sejati.

Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan emak dan abah. Semoga budi baik mereka diberikan ganjaran syurga oleh Allah SWT.
Selamat hari jadi emak, al-Fatihah untuk abah.


Isnin, 14 Oktober 2013

Kisah KL Gangster dan barang tiruan

Teks: Rozida Ismail

Baru-baru ini Syamsul Yusof, penerbit dan pengarah filem muda di negara kita berang kerana filemnya diedarkan sebelum masuk skim wajib tayang. Memanglah dia akan mengamuk kerana setelah berpenat lelah dan berhempas pulas untuk menghasilkan filem yang dinanti-nantikan oleh peminat filem Malaysia, tiba-tiba ada pula yang membuat onar dengan menyebarkannya secara percuma di internet. Bukan sedikit wang, masa dan tenaga yang telah dicurahkan untuk menghasilkan filem ini. Tentulah sebagai pengeluar filem, beliau akan berasa kecewa yang teramat sangat. Dia buat filem kerana dia terlibat dalam industri perniagaan hiburan. Bukan dia buat untuk suka-suka atau kerana minat semata-mata. Orang berniaga mestilah untuk mendapatkan keuntungan. Saya harap dalang di sebalik angkara ini dapat ditangkap dan dihukum kerana dia tidak menghormati harta intelek orang lain. Saya sebenarnya suka tengok kelainan filem sekuel KL Gangster ini kerana ia tidak menggunakan heroin (jadi tiada manipulasi pelakon wanita dalam filem ini).

Itu kisah filem. Pastilah orang suka dapat menonton tanpa bayaran. Filem baru yang belum pun keluar di pawagam, siapa tak nak dan siapa kisah kalau pengeluarnya rugi berjuta-juta? Sedangkan barang-barang pengguna yang popular orang tiru dan jual dengan harga lebih kurang sama  pun ada pembelinya. Persoalannya, kenapa dengan orang kita? Kenapa begitu ramai yang menyokong aktiviti tidak bermoral seperti ini?

Sebenarnya kajian menunjukkan ada tiga kategori utama mengapa orang membeli barang tiruan di pasaran. Pertama kerana orang ingin menggunakan barang berjenama, tetapi tidak mampu untuk membelinya. Kedua, mereka tidak kenal adakah itu barang asli atau tiruan. Dalam bahasa mudahnya, mereka tertipu. Ketiga, barang-barang tiruan ini sangat mudah didapati di mana-mana. Jadi, bagaimana kita hendak mengekang budaya membeli barang tiruan ini dalam masyarakat kita dan seterusnya mengajar masyarakat menghormati hak cipta dan harta intelek seseorang? Adakah dengan cara menangkap pembuat barang tiruan ini dan juga penjualnya? Saya berkesempatan berbual dengan pihak penguasa yang mengawal pengedaran barang tiruan ini. Khabarnya mereka diugut dan keselamatan diancam. Kesian juga mendengar cerita mereka, terpaksa menggadai nyawa demi sesuap nasi.

Ada cara mudah untuk kita sama-sama membantu membanteras kewujudan barang tiruan di pasaran. Kita pasti sakit hati jika tertipu dengan pembelian barang tiruan ini. Lebih memburukkan keadaan lagi jika kita termakan barang tiruan yang boleh mengancam nyawa pula. Jadi, sama-samalah kita boikot penggunaan barang tiruan, berasa malu menggunakan jenama tiruan, dan hormati pemilik harta intelektual yang telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk memastikan kualiti barangnya terpelihara untuk kebaikan pengguna. Lebih baik menggunakan jenama tempatan yang nyata memang original, murah dan diyakini halal lagi baik (halalan toyyiban).

Pernah tengok jenama ini? Tengok betul-betul..


Sabtu, 12 Oktober 2013

Tip Membeli-belah

Teks: Rozida Ismail

Lagi dua hari kita akan menyambut Aidiladha. Pastinya suri rumah bertambah sibuk untuk membuat persiapan. Nama pun menyambut hari raya, pastilah ada sedikit juadah yang perlu disiapkan untuk keluarga. Sesuai dengan musim membeli-belah, hari ini saya ingin berkongsi sedikit tip membeli-belah secara berhemah. Tip ini sebenarnya adalah apa yang saya amalkan.

Untuk barang-barang keperluan harian seperti sabun basuh, susu, dan sebagainya selalunya kita membeli secara bulanan. Iaitu menyimpan stok untuk sebulan, barulah membuat belian ulangan. Oleh sebab rumah saya berdekatan dengan banyak pasaraya besar, maka saya sering perhatikan apa dan bila barang dijual murah barulah saya beli dalam kuantiti yang banyak. Misalnya sabun basuh Breeze 4.4 liter biasanya dijual dengan harga runcit RM27.90. Begitu juga Dynamo 4.4 liter, anggaran harganya lebih kurang. Dulu saya tidak menggunakan sabun ini kerana harganya memang mahal. Tetapi ada masa-masanya pasaraya akan membuat jualan murah untuk barang-barang keperluan harian ini, maka ketika itulah saya akan membeli dan menyimpan stok untuk 3 bulan. Menjelang masa sabun ini habis digunapakai, maka akan ada lagi jualan murah yang dibuat. Selalunya perbezaan harga mencapai RM8 sebotol. Contohnya minggu lepas, di pasaraya Giant, Breeze dijual pada harga RM19.90. Minggu ini pula Tesco menjual Dynamo pada harga 19.98. Jadi saya tidak melepaskan peluang untuk membeli dan menyimpan stok.

Begitu juga untuk barang pengguna lain seperti susu segar Dutch Lady 1 liter (kerana anak saya hanya gemarkan susu ini), pasaraya besar ini selalu memberi tawaran RM12.00 untuk tiga kotak.  Pada hari-hari biasa, susu ini dijual pada harga RM5.40 sekotak. Bagi teh Lipton pula saya selalu membeli di 99 Speedmart kerana harganya sentiasa murah. Tetapi di sini selalunya barang dijual dalam pek kecil. Walaupun murah, anda kena hati-hati kerana barang di sini selalu dalam keadaan tidak sempurna seperti tinnya kemek. Saya juga pernah melihat susu yang luput tarikh masih dijual. Jika ingin membeli di sini, eloklah memilih dengan teliti terutama tentang bungkusan barang dan tarikh luput. Pasaraya yang sering menjual teh uncang Lipton 80 uncang dengan harga lebih murah berbanding pasaraya lain ialah Econsave. Barang yang sering saya beli di 99 Speedmart ialah sabun mandi Dettol dan syampu kerana harganya lebih murah dari yang lain-lain.

Oleh sebab selalu membanding-bandingkan harga maka saya selalu singgah di semua pasaraya untuk mendapatkan harga terbaik bagi setiap belian saya. Tetapi mujurlah kesemua pasaraya ini terletak berdekatan dengan rumah.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Awas! Penipuan ubatan boleh membunuh

Teks: Rozida Ismail

Baru-baru ini saya berkesempatan mengikuti satu bengkel tentang harta intelek yang dikendalikan oleh badan antarabangsa. Banyak ilmu yang didapati dan mahu saya kongsikan di sini. Nama pun bengkel ini tentang kesedaran harta intelek. Maka, eloklah apa yang didapati itu disampaikan pada semua orang. Salah satu cabang yang hangat diperkatakan dalam bengkel ini ialah tentang barang-barang palsu.

Apa yang  mengejutkan ialah ubat-ubatan palsu merupakan bahan yang paling banyak diniagakan di internet.  Ini termasuklah pil kurus. Berdasarkan dapatan oleh pihak penguasa, ada sejenis kopi untuk kurus mengandungi hanya 5% sibutramine (ubat kurus) dan selebihnya sildenafil (ubat seks). Sibutramine ialah dadah yang merangsang otak untuk merasa kenyang dan hanya boleh diambil dalam kuantiti sedikit dengan preskripsi doktor. Jadi, jangan ambil/ beli pil kurus sembarangan kerana bimbang mendapat sakit lain pula. Pernahkah anda dengar berita tentang seorang warga Singapura meninggal dunia kerana mengambil viagra sedikit masa dahulu? Sebenarnya viagra yang diambilnya ialah pil tiruan dan mengandungi dadah untuk penyakit kencing manis. Mangsa ini koma kerana biasanya ubat kencing manis akan menurunkan paras gula dalam badan.

Sebenarnya ada cara untuk mengenal pasti sama ada ubat-ubatan yang dijual di farmasi adalah palsu atau tulen. Pastikan label berikut terdapat pada ubat tersebut:
MAL20022544A - ubat di bawah kawalan Kerajaan
MAL20030080X - ubat yang dijual di kaunter
MAL20024420T - ubat tradisional
Hanya ubat yang tulen sahaja mempunyai label ini. Namun, label ini juga kadang-kadang dipalsukan. Untuk itu, Kementerian Kesihatan memperkenalkan hologram bagi memastikan ketulenan sesuatu produk ubatan. Juga, hologram ini dipalsukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Di farmasi, terdapat alat untuk membaca hologram ini iaitu Meditag. Anda boleh menyemak ketulenan hologram menggunakan Meditag. Hologram yang sah akan mengeluarkan logo kepala harimau dan huruf KKM.

Ingat, gunakan kuasa pengguna sepenuhnya ketika membeli ubat. Jangan tertipu dengan ubat yang hampir sama tetapi dijual dengan harga yang lebih murah. Antara ubat yang dipalsukan ialah panadol, eyemo, minyak cap kapak, dan ubat batuk cap ibu dan anak. Sememangnya kita payah mengenali barang tulen atau palsu kerana ia seakan-akan sama. Tetapi dengan adanya hologram tersebut, sekurang-kurangnya kita dapat menyemak ketulenan sesuatu produk.

Khamis, 10 Oktober 2013

Tip Menjaga Kesihatan Mata

Teks: Rozida Ismail

Baru-baru ini anak gadis saya mengadu kehilangan cermin mata di sekolahnya ketika menukar pakaian sukan. Hairan juga bagaimana cermin mata pun boleh hilang! Saya memberi tempoh seminggu untuk dia mencari cermin mata yang hilang itu melalui bantuan guru dan rakan-rakannya, tetapi nyata tidak ditemui. Oleh sebab 'power' cermin matanya sama dengan saya, maka saya memahami tahap kesukarannya melihat. Tetapi mujurlah kehilangan itu berlaku selepas dia mengambil peperiksaan.

Mahu tidak mahu, terpaksalah saya membawa dia ke optometrist untuk membuat cermin mata baharu. Biasanya saya membawa ke kedai cermin mata franchise terkemuka di negara kita tetapi mendengar nasihat teman saya yang berbangsa Cina, saya menukar ke kedai yang tidak ada rangkaian. Khabarnya lebih murah lagi. Benarlah, optometrist di kedai itu memang seorang pak cik tua, hampir 60 tahun umurnya. Layanannya seperti seorang bapa. Kata anak saya, cara pak cik itu menegur dan memberi nasihat persis arwah atuk (walaupun dia berbangsa Cina!). Rupa-rupanya 'power' penglihatan jarak jauh anak saya meningkat dari 350 ke 500! Jika tidak kerana cermin matanya hilang, pasti saya tidak tahu yang power matanya sudah bertambah. Cermin mata lama memang tidak sesuai digunakan lagi. Pak cik optometrist itu juga terkejut bagaimana pertambahannya begitu drastik kerana cermin mata lama dibuat awal tahun ini. Mungkin kerana habit anak saya yang suka membaca secara dekat. Saya kongsikan di sini bagaimana menjaga kesihatan mata mengikut optometrist ini.

Pertama, jarakkan mata dari bahan bacaan sekurang-kurangnya 1.5 - 2 kaki (lebih kurang 30 - 50 cm). Kedua, baca di tempat yang terang dan cukup pencahayaan. Ketiga, makan banyak sayur-sayuran. Dia juga menasihatkan untuk makan herba Cina iaitu gou qi zi sejenis red berry atau dikenali sebagai goji berry. Apabila saya google, sememangnya goji berry merupakan buah yang baik untuk memulihkan penglihatan yang kabur, rabun malam serta melambatkan berlakunya glaukoma dan katarak (selalu berlaku pada orang tua). Dalam perubatan Cina, penglihatan juga berkait dengan hati. Dengan memakan herba goji berry, secara tidak langsung turut menjaga kesihatan hati. Goji berry mengandungi kadar antioksida, lemak tak tepu dan asid amino yang tinggi. Rasa buah ini manis. Biasanya ia diletak dalam sup, di dalam bubur nasi atau boleh diminum dengan merendamnya dalam air panas selama setengah jam terlebih dahulu.
Goji berry baik untuk kesihatan mata. Gambar dari carian Google. 
Goji berry dijual di kedai ubat Cina dengan harga antara RM15 - RM50 sekilogram bergantung pada kualitinya. Buah ini juga boleh didapati dalam bentuk jus. Sangat penting bagi kita menjaga kesihatan mata kerana ia adalah pancaindera yang sangat berharga.






Selasa, 8 Oktober 2013

Simpan Kira

Teks: Rozida Ismail

Ini pun salah satu istilah dalam perakaunan. Pernah dengar? Dalam bahasa Inggerisnya disebut book keeping. Ilmu simpan kira memang perlu ada dalam diri setiap usahawan, tidak kira sama ada usahawan kecil, sambilan atau yang baru-baru mencuba untuk berbisnes. Berapa ramai agaknya usahawan SOHO, WAHM, SAHM, mempunyai ilmu ini? Atau tidak ramai yang betul-betul mencatat apa sahaja yang dibelanjakan atau pendapatan mereka dalam satu buku?

Jika anda belum pernah berbuat demikian, mulakanlah hari ini juga. Catat semua perbelanjaan yang keluar untuk berbisnes, simpan semua resit belian dalam satu fail, rekodkan wang masuk dari mana-mana sumber. Selalunya usahawan mempunyai lebih daripada satu bisnes. Siapkan satu jurnal untuk merekodkan pendapatan setiap hari. Pendek kata, hasilkan satu rekod yang sistematik untuk bisnes kita.

Cara membuat simpan kira tidaklah begitu sukar. Anda tidak perlukan seorang akauntan untuk menyediakannya. Anda cuma perlu ada empat rekod setiap hari iaitu rekod belian, jualan, resit, dan pembayaran. Semua transaksi ini mesti dikemas kini setiap hari supaya mudah untuk anda mengesan bisnes mana yang paling menguntungkan dan mempunyai banyak permintaan. Kadang-kadang sesuatu bisnes memang nampak banyak permintaan berbanding yang satu lagi. Tetapi margin keuntungan kedua-duanya mungkin berbeza. Jadi berikan lebih fokus untuk mempromosi bisnes yang mempunyai margin lebih besar. Work smart, do not work hard!

Jumaat, 4 Oktober 2013

Susut nilai

Teks: Rozida Ismail

Pernah dengar perkataan susut nilai? Istilah ini biasa digunakan dalam ilmu perakaunan. Jika ke kedai emas pun, perkataan ini akan selalu disebut. Peratus susut nilai emas biasanya 15 - 20%. Bermakna jika anda membeli emas hari ini pada harga RM160 segram, dua tahun selepas itu jika anda ingin menjualnya maka susut nilai akan dikira sebanyak 15% kurang daripada harga semasa. Contohnya dengan harga  emas hari ini RM160 segram, selepas ditolak susut nilai 15% harga yang anda dapat ialah RM136.00 segram.

Ketiga-tiga aset ini mempunyai susut nilai.
Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang urus niaga emas sebenarnya. Saya mahu berbicara tentang susut nilai. Banyak barang yang kita beli mempunyai susut nilai, terutamanya aset. Contohnya kereta, komputer, telefon, sekadar menyebut beberapa contoh. Barang-barang ini mempunyai kadar susut nilai yang tinggi. Ini disebabkan perubahan teknologi untuk barangan seperti ini berlaku dengan cepat. Telefon canggih yang kita beli hari ini akan turun harga dengan cepat dalam tempoh 3 bulan lagi. Jika kita rajin melayan gajet seperti ini, memanglah tidak berbaloi rasanya. Baru 3 bulan pakai, sudah hendak menukar dan terpaksa tambah dalam RM500 - RM1000 untuk mendapatkan telefon baru. Bagi saya, sama ada kereta, telefon atau komputer, sebaik-baiknya digunakan selama 3 tahun barulah diganti. Puas memakai, harga pulang modal, barulah ditukar. Walaupun kereta dibeli secara ansuran, lebih baik jika ansuran dibuat dalam tempoh 5 tahun sahaja jika mampu. Ini kerana teknologi biasanya bertukar setiap 3 tahun dan anda akan mendapat enjin baru yang lebih tinggi teknologinya dengan penggunaan minyak yang lebih ekonomik. Biasanya kereta selepas digunakan selama 2 tahun akan mula memberi masalah. Banyak yang perlu ditukar seperti tayar, brake pad, bateri dan benda-benda tersembunyi yang lain. Lainlah jika kereta jarang digunakan dan hanya digunakan sekali-sekala. Kadang-kadang kita memang terasa sayang hendak menukar kepada kereta baharu, tetapi cuba tetapkan hati bahawa kepuasan memandu akan bertukar apabila memiliki kereta baru. Barulah semangat untuk keluar bekerja tersuntik kembali. Lagipun kita bukan orang kaya untuk memiliki beberapa kereta sekali gus. Jadi, pilihan yang kita ada ialah selalu menukar kereta yang satu itu supaya kita dapat merasa memandu lebih banyak kereta daripada pelbagai jenama. Siapa bersetuju dengan pendapat saya, angkat tangan!

Selasa, 1 Oktober 2013

Drama bersiri Cina vs Drama bersiri Melayu

Teks: Rozida Ismail

Awal 90an semasa masih menuntut di universiti dan ketika mula bekerja, saya memang suka mengikuti drama bersiri Cina dari Hong Kong. Dulu memang drama bersiri Cina menjadi kegilaan ramai sebelum diganti dengan kegilaan pada drama Amerika Latin, kemudian beralih ke Korea. Drama yang disiarkan setiap petang ini memang berhantu dan membuatkan kita tidak sabar hendak menonton episod seterusnya. Ada sebuah drama yang saya tidak ingat tajuknya meninggalkan kesan sehingga kini. Cerita tentang seorang gadis kampung yatim piatu yang diambil tinggal bersama saudara sepupunya. Memanglah gadis ini sering dibuli tahap gaban. Penerbit memang sengaja hendak bagi penonton geram pada saudara gadis ini dan sangat-sangat bersimpati pada si gadis. Dalam pada itu, dia bercinta pula dengan seorang teman sepupunya itu. Dan si hero pula dicintai oleh anak bongsu tuan rumah. Seperti biasa, latar keluarga ialah peniaga restoran. Si hero pula berniaga kuih bulan. Banyaklah konflik yang timbul, sama ada dalam perhubungan mahu pun dalam perniagaan. Seronok juga tengok bagaimana hasad dengki dalam perniagaan timbul di kalangan orang-orang Cina dan bagaimana mereka mengatasinya. Entah betul entah tidak berlaku macam tu, wallahualam. Dipendekkan cerita, gadis ini akhirnya menerima tawaran kerja oleh salah seorang pelanggan restoran yang seterusnya mengubah kehidupannya 360 darjah. Tetapi niat itu tidak disukai teman lelakinya, maka putuslah hubungan mereka seketika. Yang geramnya, si hero pula akhirnya berkahwin dengan anak bongsu tuan rumah yang gedik itu. Lagilah penonton tidak puas hati. Si gadis kampung menjadi pelayan kelab, bertukar imej kampung menjadi diva dan berlagak sombong pula kerana sudah kaya. Geram juga! Dia kembali semula ke rumah itu untuk membantu keluarga itu yang ditimpa kesusahan. Cuma, kali ini dia datang dengan angkuh. Kekayaannya bukanlah dari pekerjaan sebagai pelayan semata-mata, tapi sebenarnya dia juga melabur dalam pasaran saham. Dia akhirnya jatuh bangkrap kerana pasaran saham dunia jatuh merudum. Malang bertimpa-timpa baginya.

Lain pula drama bersiri Melayu. Kita sering disogokkan dengan cerita berkisar pada konflik kekeluargaan semata-mata. Tiada elemen perniagaan atau keusahawanan. Memanglah ada unsur perniagaan, tetapi tidak diketengahkan sebarang konflik yang nyata. Kalau kaya, kaya sangat-sangat, tetapi tidak jelas apa perniagaannya. Macam mudah sangat menjadi kaya. Si datin pula, semestinya sombong dan menunjuk-nunjuk. Jarang sekali datin low profile. Agaknya memang itulah lumrah masyarakat kita. Akhir-akhir ini pula sudah menjadi trend baik dalam drama mahupun dalam novel, teruna dan dara disatukan tanpa bercinta terlebih dahulu. Maknanya mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Dalam konflik mencari keserasian itulah timbul keseronokan dan kegilaan pada penonton untuk menonton drama atau membaca novel. Mungkin penulis skrip drama kita tidak banyak ilmu perniagaan yang hendak dikongsi bersama penonton. Atau cerita begini tidak diterima oleh peminat drama Melayu.