Isnin, 1 Jun 2015

Tip untuk Ibu Mengandung: Demam Kuning a.k.a Jaundis

Teks: Rozida Ismail
Gambar: Carian google

Entri kali ini berkisar pada penyakit demam kuning atau jaundis pada bayi. Sudah tentu ia ditujukan kepada bakal-bakal ibu yang sedang menanti kelahiran permata sulung mereka. Dahulunya saya tidak tahu menahu langsung tentang betapa teruknya kesan demam kuning yang selalunya dianggap biasa oleh sesetengah orang. Rupa-rupanya jaundis teruk boleh membunuh dan merosakkan otak bayi. Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, hampir 50% daripada bayi yang dilahirkan menghidap jaundis. Menakutkan bukan?

Saya ingin berkongsi kisah saya menjaga bayi jaundis. Boleh dikatakan kesemua anak-anak saya menghidap jaundis selepas dilahirkan. Anak sulung saya hanya menghidap jaundis normal. Pelbagai petua diberikan oleh orang tua untuk menyembuhkannya. Antaranya jemur di bawah panas matahari, diberi minum susu kambing, air halwa dan mandian herba Cina. Kesemua petua itu saya lakukan kerana mahu bayi saya cepat sembuh. Bayi yang menghidap jaundis akan selalu tidur dan tidak menghiraukan masa untuk minum susu. Sebagai ibu yang baru menempuh pengalaman pertama berpantang, saya fikirkan bayi saya 'baik' kerana suka tidur dan tidak menyusahkan ibunya. Tetapi apabila bidan Kerajaan datang memantau, saya dikejutkan dengan berita bahawa bayi saya menghidap jaundis dan perlu dibawa ke hospital segera. Alhamdulillah, jaundisnya tidak tinggi dan saya hanya dinasihatkan supaya selalu memberi susu badan kepada bayi saya dan kejutkan dia untuk menyusu dengan lebih kerap.

Pengalaman berpantang anak kedua agak mengerikan. Sebaik sahaja pulang ke rumah selepas 3 hari di hospital, bidang Kerajaan datang memantau dan bayi saya terpaksa dibawa ke hospital kerana menghidap jaundis yang teruk. Saya masih ingat, dalam jam 11 pagi bayi saya telah dimasukkan ke wad kanak-kanak. Sejak itu, banyak kali darahnya diambil untuk menyemak bacaan bilirubin. Walaupun baru sahaja melahirkan, saya tiada selera untuk makan kerana memikirkan nasib si anak. Pada sebelah petangnya dimaklumkan bahawa bayi saya perlu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur kerana pemindahan darah perlu dilakukan. Ibu mana yang tidak 'gerun' mendengar nasib si bayi yang baru empat hari melihat dunia tetapi perlu melalui saat getir ini. Tambahan pula, saiznya agak kecil dengan berat 2.5 kg sahaja ketika dilahirkan.

Saya rasa hampir jam 1 pagi barulah saya berdua beranak memasuki wad khas untuk bayi jaundis. Bayangkan ketika itu saya masih lagi lemah kerana baru 4 hari melahirkan. Tiada bengkung dan tiada apa pun yang bersama-sama saya sebagai bekal keperluan untuk orang yang berpantang seperti sepatutnya. Bayi saya diletakkan di katil khas dengan lampu ultra ungu atas bawah dalam keadaan separuh bogel, hanya memakai diaper sahaja. Sayu melihatnya kerana matanya ditutup bagi mengelak silau. Setiap satu jam dia perlu digerakkan untuk disusukan. Sememangnya saya tidak ada waktu rehat yang cukup kerana terpaksa bangun setiap satu jam di waktu malam. Walaupun bayi jaundis kuat tidur, namun untuk meletakkannya di bawah cahaya lampu bukanlah mudah. Bayi akan menangis dan meronta-ronta, mungkin kerana tidak selesa berada dalam katil plastik tanpa tilam empuk. Namun saya masih bersyukur kerana pemindahan darah tidak perlu dilakukan.
Beginilah keadaannya apabila bayi pada tahap jaundis yang teruk - gambar dari google.

Seingat saya, sesudah 2 hari berada dalam keadaan begitu, baharulah dia dipindahkan ke wad yang menempatkan bayi jaundis kurang serius, iaitu hanya cahaya ultra ungu dari atas sahaja dan katilnya beralaskan tilam. Bolehlah dia tidur dengan selesa. Jiran di katil sebelah saya, seorang wanita Cina amat stres dengan keadaan bayinya yang sentiasa menangis dan tidak mahu ditinggalkan di katil itu. Bayinya agak agresif sehinggakan tertanggal penutup matanya. Saya masih ingat yang dia asyik memarahi bayinya yang kuat menangis dan kadang-kadang menepuk-nepuk buntut si bayi. Apalah anak itu tahu dalam usia tidak sampai seminggu. Memang kasihan pada kedua-duanya, anak tidak sihat, ibu pula stres kerana tidak cukup rehat. Hanya yang mengalaminya sahaja yang tahu betapa sukarnya menghadapi situasi begitu.

Saya fikir anak saya dapat dikeluarkan dari wad pada hari berikutnya kerana keadaannya bertambah baik. Namun sangkaan itu jauh meleset kerana pada hari keempat, dia perlu dipindahkan semula ke wad jaundis serius. Saya memang berasa amat tertekan dan menangis melihatkan keadaan anak yang terpaksa menanggung penderitaan ini ketika masih kecil lagi. Setiap hari dia akan meraung kerana tangan dan kakinya yang kecil perlu disuntik untuk mengambil sampel darah. Bekas-bekas suntikan berada di mana-mana sahaja di tapak tangan dan tapak kakinya. Ibu mana yang tidak belas melihatkan bayi sekecil itu disuntik berkali-kali setiap hari. Suntikan demi suntikan perlu dibuat kerana bukan mudah untuk mengambil sampel darah dari bayi. Selain itu semua kebajikan bayi, termasuk memandikannya perlu dilakukan sendiri oleh si ibu. Tiada siapa yang akan membantu. Hari keenam baharulah saya menerima berita gembira, tahap bilirubinnya menurun dan boleh keluar dari wad hari itu.

Bagi saya, setiap ibu yang menghadapi situasi ini perlu diberi kaunseling kerana mereka pasti tidak kuat untuk melalui fasa selepas bersalin dengan masalah bayi yang perlu diberi perhatian rapi. Sehinggakan saya sendiri bertekad, jika anak saya yang akan datang menghidap jaundis juga maka saya akan menghantarnya ke hospital swasta sahaja.

Semuanya berpunca kerana saya tidak tahu. Rupa-rupanya jaundis boleh dicegah atau setidak-tidaknya dikurangkan dengan amalan meminum susu kambing ketika masih mengandung. Untuk bakal ibu, bersedialah secukupnya ketika mengandung kerana kita tidak tahu masalah bayi yang akan dilahirkan. Ingatlah, jaundis boleh membawa kematian, kerosakan otak dan masalah pendengaran. Jangan sesekali meletakkan bayi di bawah cahaya terik matahari kerana masalah lain pula yang akan menimpa, iaitu masalah kekeringan dan memburukkan lagi keadaan jaundis si anak. Amalkanlah petua mengelak jaundis seperti meminum susu kambing dan madu.

Saya mengesyorkan susu kambing dari Junn's Dairy kerana ia produk muslim, sedap dan yang penting tidak terlalu mahal. Untuk ibu mengandung, bolehlah mula minum dari peringkat kandungan 7 bulan ke atas kerana rasa loya dan mual sudah berkurangan. Niatkan di hati meminumnya untuk kesihatan si anak.


3 ulasan: