Ahad, 6 September 2015

Projek Raya 2015

Teks: Rozida Ismail
Gambar: Koleksi Rozida Ismail



Aidilfitri 2015 memang telah lebih sebulan berlalu. Dalam kesibukan, saya tidak sempat merakam catatan tentang projek raya tahun ini. Nampaknya raya tahun ini saya masih menjalankan projek seperti dua tahun lepas ~ menjahit baju kurung untuk seisi keluarga.  Setelah hampir setahun tinggal di lokasi baru, saya masih tidak menemui tukang jahit yang serasi. Jika boleh, biarlah tukang jahit itu berdekatan rumah,  jadi mudahlah untuk menghantar dan mengambil tempahan. Semua tukang jahit yang biasa menerima tempahan dari saya sudah tidak menang tangan. Ada juga yang terpaksa menolak tempahan disebabkan masalah kesihatan. Mahu tidak mahu, terpaksalah  saya menjalankan Projek Raya 2015 pula!

Maka bermulalah projek raya tahun ini, dua minggu sebelum berpuasa. Saya memang terpaksa meletakkan deadline untuk diri sendiri. Maklum sahaja, ada empat pasang baju kurung yang mesti disiapkan untuk digayakan sedondon pada hari raya pertama. Tambahan lagi, empat helai jubah juga mesti disiapkan untuk dipakai pada hari raya kedua!  Memang mencabar juga projek raya kali ini.

Minggu pertama, semua baju mestilah siap dipotong supaya mudah untuk dihantar jahit tepi sekali gus. Cabaran kali ini, anak-anak dara saya sudah pandai menetapkan fesyen pilihan masing-masing. Bukan lagi baju kurung tradisional teluk belanga. Fesyen anak gadis pertama, baju kurung moden kembang, lengan kedut di hujung dan kain peplum! Inilah yang paling mencabar kerana tidak pernah selama ini saya menjahit kain peplum. Potongan peplum atau gunting payung memerlukan kain yang banyak. Jika tidak menjadi, habislah kain yang boleh dikatakan agak mahal juga. Saya memang memilih kain yang materialnya berat, tidak mudah renyuk dan sejuk untuk dipakai beraya. Barulah selesa kerana selalunya jika keluar beraya, sehari suntuk dihabiskan untuk melawat sanak saudara. Kain ini pula saya beli di Terengganu kerana ketika itu sahaja saya mempunyai masa untuk memilih design dan material yang berkenan di hati. Jika tidak cukup kain, kenalah berkreatif untuk mencari gantinya. Fesyen yang dimahukan oleh anak gadis kedua pula ialah lengan yang bercekak di hujungnya. Ini tidak susah sebenarnya, cuma perlukan masa yang lebih untuk menyiapkannya. Alhamdulillah, kini untuk mencari tutor membuat potongan peplum tidak sukar. Google sahaja, saya sudah dapat cara-caranya.

Cabaran kedua pula, mencari kedai yang menerima jahitan tepi. Ada lapan pasang baju yang perlu dijahit tepi dan di samping itu saya perlu mencari alat-alat jahitan seperti benang, renda, getah dan sebagainya. Saya google lagi untuk mencari kedai peralatan jahitan berdekatan rumah. Memang ada dan saya terus menuju ke situ dengan bantuan waze. Seminggu sebelum puasa saya perlu menghantar semua baju tersebut untuk dijahit tepi kerana setiap hujung minggu bolehlah saya fokus menjahit untuk menyiapkan sepasang demi sepasang. Kedai yang dituju rupa-rupanya penuh dengan pelanggan. Saya berkunjung pada hari Sabtu, tetapi dimaklumkan jahitan tepi hanya dapat disiapkan pada hari Selasa. Waduh.. habislah masa hujung minggu saya terbuang begitu sahaja kerana projek menjahit terpaksa ditunda. Setelah habis berfikir, saya membuat keputusan untuk mencari kedai lain. Alhamdulillah, saya terjumpa kedai tersebut berhampiran rumah. Syukur kerana semua jahitan tepi dapat disiapkan dalam tempoh 2 jam sahaja. Dapatlah saya memulakan projek jahitan serta-merta.

Inilah hasilnya...
Jubah ala-ala Frozen.

Kain peplum berjaya disiapkan tanpa perlu alteration.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan