Selasa, 8 Oktober 2013

Simpan Kira

Teks: Rozida Ismail

Ini pun salah satu istilah dalam perakaunan. Pernah dengar? Dalam bahasa Inggerisnya disebut book keeping. Ilmu simpan kira memang perlu ada dalam diri setiap usahawan, tidak kira sama ada usahawan kecil, sambilan atau yang baru-baru mencuba untuk berbisnes. Berapa ramai agaknya usahawan SOHO, WAHM, SAHM, mempunyai ilmu ini? Atau tidak ramai yang betul-betul mencatat apa sahaja yang dibelanjakan atau pendapatan mereka dalam satu buku?

Jika anda belum pernah berbuat demikian, mulakanlah hari ini juga. Catat semua perbelanjaan yang keluar untuk berbisnes, simpan semua resit belian dalam satu fail, rekodkan wang masuk dari mana-mana sumber. Selalunya usahawan mempunyai lebih daripada satu bisnes. Siapkan satu jurnal untuk merekodkan pendapatan setiap hari. Pendek kata, hasilkan satu rekod yang sistematik untuk bisnes kita.

Cara membuat simpan kira tidaklah begitu sukar. Anda tidak perlukan seorang akauntan untuk menyediakannya. Anda cuma perlu ada empat rekod setiap hari iaitu rekod belian, jualan, resit, dan pembayaran. Semua transaksi ini mesti dikemas kini setiap hari supaya mudah untuk anda mengesan bisnes mana yang paling menguntungkan dan mempunyai banyak permintaan. Kadang-kadang sesuatu bisnes memang nampak banyak permintaan berbanding yang satu lagi. Tetapi margin keuntungan kedua-duanya mungkin berbeza. Jadi berikan lebih fokus untuk mempromosi bisnes yang mempunyai margin lebih besar. Work smart, do not work hard!

Jumaat, 4 Oktober 2013

Susut nilai

Teks: Rozida Ismail

Pernah dengar perkataan susut nilai? Istilah ini biasa digunakan dalam ilmu perakaunan. Jika ke kedai emas pun, perkataan ini akan selalu disebut. Peratus susut nilai emas biasanya 15 - 20%. Bermakna jika anda membeli emas hari ini pada harga RM160 segram, dua tahun selepas itu jika anda ingin menjualnya maka susut nilai akan dikira sebanyak 15% kurang daripada harga semasa. Contohnya dengan harga  emas hari ini RM160 segram, selepas ditolak susut nilai 15% harga yang anda dapat ialah RM136.00 segram.

Ketiga-tiga aset ini mempunyai susut nilai.
Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang urus niaga emas sebenarnya. Saya mahu berbicara tentang susut nilai. Banyak barang yang kita beli mempunyai susut nilai, terutamanya aset. Contohnya kereta, komputer, telefon, sekadar menyebut beberapa contoh. Barang-barang ini mempunyai kadar susut nilai yang tinggi. Ini disebabkan perubahan teknologi untuk barangan seperti ini berlaku dengan cepat. Telefon canggih yang kita beli hari ini akan turun harga dengan cepat dalam tempoh 3 bulan lagi. Jika kita rajin melayan gajet seperti ini, memanglah tidak berbaloi rasanya. Baru 3 bulan pakai, sudah hendak menukar dan terpaksa tambah dalam RM500 - RM1000 untuk mendapatkan telefon baru. Bagi saya, sama ada kereta, telefon atau komputer, sebaik-baiknya digunakan selama 3 tahun barulah diganti. Puas memakai, harga pulang modal, barulah ditukar. Walaupun kereta dibeli secara ansuran, lebih baik jika ansuran dibuat dalam tempoh 5 tahun sahaja jika mampu. Ini kerana teknologi biasanya bertukar setiap 3 tahun dan anda akan mendapat enjin baru yang lebih tinggi teknologinya dengan penggunaan minyak yang lebih ekonomik. Biasanya kereta selepas digunakan selama 2 tahun akan mula memberi masalah. Banyak yang perlu ditukar seperti tayar, brake pad, bateri dan benda-benda tersembunyi yang lain. Lainlah jika kereta jarang digunakan dan hanya digunakan sekali-sekala. Kadang-kadang kita memang terasa sayang hendak menukar kepada kereta baharu, tetapi cuba tetapkan hati bahawa kepuasan memandu akan bertukar apabila memiliki kereta baru. Barulah semangat untuk keluar bekerja tersuntik kembali. Lagipun kita bukan orang kaya untuk memiliki beberapa kereta sekali gus. Jadi, pilihan yang kita ada ialah selalu menukar kereta yang satu itu supaya kita dapat merasa memandu lebih banyak kereta daripada pelbagai jenama. Siapa bersetuju dengan pendapat saya, angkat tangan!

Selasa, 1 Oktober 2013

Drama bersiri Cina vs Drama bersiri Melayu

Teks: Rozida Ismail

Awal 90an semasa masih menuntut di universiti dan ketika mula bekerja, saya memang suka mengikuti drama bersiri Cina dari Hong Kong. Dulu memang drama bersiri Cina menjadi kegilaan ramai sebelum diganti dengan kegilaan pada drama Amerika Latin, kemudian beralih ke Korea. Drama yang disiarkan setiap petang ini memang berhantu dan membuatkan kita tidak sabar hendak menonton episod seterusnya. Ada sebuah drama yang saya tidak ingat tajuknya meninggalkan kesan sehingga kini. Cerita tentang seorang gadis kampung yatim piatu yang diambil tinggal bersama saudara sepupunya. Memanglah gadis ini sering dibuli tahap gaban. Penerbit memang sengaja hendak bagi penonton geram pada saudara gadis ini dan sangat-sangat bersimpati pada si gadis. Dalam pada itu, dia bercinta pula dengan seorang teman sepupunya itu. Dan si hero pula dicintai oleh anak bongsu tuan rumah. Seperti biasa, latar keluarga ialah peniaga restoran. Si hero pula berniaga kuih bulan. Banyaklah konflik yang timbul, sama ada dalam perhubungan mahu pun dalam perniagaan. Seronok juga tengok bagaimana hasad dengki dalam perniagaan timbul di kalangan orang-orang Cina dan bagaimana mereka mengatasinya. Entah betul entah tidak berlaku macam tu, wallahualam. Dipendekkan cerita, gadis ini akhirnya menerima tawaran kerja oleh salah seorang pelanggan restoran yang seterusnya mengubah kehidupannya 360 darjah. Tetapi niat itu tidak disukai teman lelakinya, maka putuslah hubungan mereka seketika. Yang geramnya, si hero pula akhirnya berkahwin dengan anak bongsu tuan rumah yang gedik itu. Lagilah penonton tidak puas hati. Si gadis kampung menjadi pelayan kelab, bertukar imej kampung menjadi diva dan berlagak sombong pula kerana sudah kaya. Geram juga! Dia kembali semula ke rumah itu untuk membantu keluarga itu yang ditimpa kesusahan. Cuma, kali ini dia datang dengan angkuh. Kekayaannya bukanlah dari pekerjaan sebagai pelayan semata-mata, tapi sebenarnya dia juga melabur dalam pasaran saham. Dia akhirnya jatuh bangkrap kerana pasaran saham dunia jatuh merudum. Malang bertimpa-timpa baginya.

Lain pula drama bersiri Melayu. Kita sering disogokkan dengan cerita berkisar pada konflik kekeluargaan semata-mata. Tiada elemen perniagaan atau keusahawanan. Memanglah ada unsur perniagaan, tetapi tidak diketengahkan sebarang konflik yang nyata. Kalau kaya, kaya sangat-sangat, tetapi tidak jelas apa perniagaannya. Macam mudah sangat menjadi kaya. Si datin pula, semestinya sombong dan menunjuk-nunjuk. Jarang sekali datin low profile. Agaknya memang itulah lumrah masyarakat kita. Akhir-akhir ini pula sudah menjadi trend baik dalam drama mahupun dalam novel, teruna dan dara disatukan tanpa bercinta terlebih dahulu. Maknanya mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Dalam konflik mencari keserasian itulah timbul keseronokan dan kegilaan pada penonton untuk menonton drama atau membaca novel. Mungkin penulis skrip drama kita tidak banyak ilmu perniagaan yang hendak dikongsi bersama penonton. Atau cerita begini tidak diterima oleh peminat drama Melayu.

Isnin, 30 September 2013

Redah Indonesia: Surabaya - Mount Bromo

Teks: Rozida Ismail

Antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan dalam misi meredah Indonesia pastinya destinasi Surabaya. Sebenarnya ketika menempah tiket penerbangan, kami langsung tidak ada idea tentang apa yang ada di Surabaya. Dengan RM350, kami dapat membeli dua tiket pergi balik ke destinasi sejauh itu yang memakan masa selama 3 jam tempoh penerbangan. Selepas menempah tiket, barulah kami mencari maklumat tentang Surabaya dan menempah pula ejen pelancongan. Oleh sebab tidak tahu menahu tentang selok belok di Surabaya, berjalan menggunakan ejen adalah lebih mudah dan selamat. Semuanya teratur dan tersedia.

Antara yang menarik di sini ialah Gunung Bromo dan Ladang Epal. Bagaimana pun kami tidak pergi ke ladang epal kerana ladangnya sedikit menyimpang dari laluan kami. Dari Surabaya untuk ke Bromo memakan masa 6 jam. Turun sahaja kapal terbang kami terus dibawa ke sana kerana laluannya menggunakan jalan kampung yang tidak mempunyai lampu jalan. Memang tidak terjangka bahawa kami akan sampai ke kawasan gunung berapi yang masih hidup! Kami bangun seawal jam 4 pagi dan berkuda menaiki gunung. Memang tidak pernah dibuat menunggang kuda sendirian, tetapi mujurlah setiap kuda ada pengiringnya. Pemandu pelancong menasihatkan membawa sekali selimut kerana cuaca sungguh sejuk. Oleh sebab tidak ada kelengkapan pakaian sejuk, malam itu kami terpaksa membeli topi dan sarung tangan. Terasa pula seperti berada di pekan koboi.

Cubaan mendaki kawah gunung berapi buat kali pertama ternyata gagal kerana tiba-tiba angin menerbangkan partikel belerang panas. Keadaan berkabus mengehadkan jarak penglihatan. Kami terpaksa menutup hidung kerana bimbang sesak nafas pula dengan baunya yang menyesakkan. Jika anda ada penyakit lelah, tak perlulah ke sini. Ada sebanyak lebih 200 mata tangga yang perlu didaki untuk meninjau ke dalam kawah gunung berapi. Apabila tiupan asap belerang telah berhenti, kami terus cuba mendaki. Alhamdulillah berjaya sampai dan menjengah ke dalam kawah. Terdapat juga beberapa orang pekerja yang masuk ke dalam kawah. Mereka benar-benar berani menyabung nyawa! Jika tergelincir, pastilah terus menjadi mayat. Saya lihat tidak ada langkah keselamatan yang digunapakai. Pemandangan di sekitar amat indah. Subhanallah, begitu agungnya ciptaan Ilahi. Sebaik turun sahaja dari gunung tersebut, kami diserbu oleh penjaja yang menjual pelbagai cenderamata, termasuklah bunga-bungaan yang digunakan oleh orang Hindu untuk bersembahyang. Sememangnya ramai penduduk Indonesia di Jawa Timur beragama Hindu. Bromo pula bermaksud Brahma, salah satu tuhan agama Hindu.

Selepas satu malam di sini, kami ke Taman Safari. Di sini, haiwan buas dilepaskan dan kami memasuki kawasan safari menggunakan pengangkutan yang sama untuk kami ke mana-mana. Dalam perjalanan pulang ke Surabaya kami melalui kawasan banjir lumpur Sidoarjo. Pemandangan di sini sungguh menyedihkan. Sebanyak 16 buah kampung ditenggelami banjir lumpur yang beracun. Dikatakan puncanya ialah penggalian telaga minyak oleh sebuah syarikat cari gali. Penyemburan banjir lumpur ini memakan masa bertahun-tahun menyebabkan penduduk kehilangan mata pencarian. Ketika kami berhenti seketika untuk melawat kawasan ini, beberapa anak muda menawarkan perkhidmatan membawa pelancong menaiki motosikal dengan bayaran RM3 ke kawasan tersebut. Masih terdapat semburan banjir setinggi 5 meter di kawasan berhampiran. Anak-anak muda ini nyata mengeluh kerana sukarnya mencari rezeki. Bantuan yang diharapkan tidak kesampaian. Selain perkhidmatan membawa pelancong, mereka juga menjual CD tentang bencana ini. Sungguh menyayat hati kerana paparan bencana dalam CD tersebut diiringi dengan lagu nyanyian Ebiet G. Ade bertajuk 'Berita Kepada Kawan'. Saya paparkan di sini sedikit bait-baitnya:

Barangkali di sana
ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu kalah dan bangga
dengan dosa-dosa
atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Cuba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang
Semburan banjir lumpur di hadapan mata.
Bersyukurlah kerana  negara kita bebas daripada bencana alam. Betul juga kata Ebiet, lihatlah apa yang kita sumbangkan pada alam, jika merosakkan, maka rosaklah alam ini.



Redah Indonesia: Padang - Bukit Tinggi

Teks: Rozida Ismail

Penghujung dekad 2000 saya rajin meredah Indonesia. Ketika itu AirAsia selalu menawarkan tambang murah. Tambang pergi balik amat murah dan untuk saya serta pasangan selalunya kami menghabiskan dalam RM1000 - RM1500 untuk pakej percutian ke Indonesia selama 4 hari 3 malam. Saya sering memilih pakej 4 hari kerana lebih puas berjalan dan masa pun tidak terlalu suntuk. Saya sudah beberapa kali ke Padang - Bukit Tinggi kerana saya suka pemandangannya yang cantik dan sejuk mata memandang. Lagipun boleh dikatakan hampir 98% penduduknya Islam, makan dan solat tidak menjadi masalah. Ada orang yang banyak duit, tetapi tidak suka berjalan. Saya lebih suka meneroka negara orang dan melihat sisi lain mereka. Banyak yang boleh kita pelajari daripada orang lain. Setidak-tidaknya kita belajar erti kesusahan orang lain dan lihat bagaimana mereka berkreatif untuk mengatasi masalah hidup.

Oleh sebab percutian itu sudah lama, jadi saya tidak berapa ingat itinerari penuhnya. Saya cuma mahu kongsikan gambar-gambar menarik dan keunikan di Padang dan Bukit Tinggi. Ini juga akan menjadi jurnal percutian saya kerana selama ini saya tidak pernah menulis di mana-mana tentang bab bercuti ini. Hanya gambar sahaja menjadi perakam pengalaman. Waktu muda-muda dahulu saya memang suka mengambil gambar. Asal berjalan sahaja, saya akan pastikan saya ada kamera. Tidak shopping pun tidak apa, tetapi gambar mesti diambil sebagai kenangan. Pernah suatu ketika, saya tidak membawa kamera (saya sudah lupa sebabnya), jadi sebagai alternatif saya membeli kamera pakai buang. Setiap kali selepas mengambil gambar, perlu dipulas dan bunyinya "krek, krek .." Apabila anak-anak sudah besar, mereka pula ditugaskan mengambil gambar, saya lebih suka menikmati pemandangan itu sendiri secara langsung. Untunglah sekarang kamera di handphone juga sudah bagus kualiti gambarnya. Itupun sudah memadai.

Malin Kundang,  Si Tanggang Indonesia
Mendarat sahaja di Bandara (Bandar Udara Minangkabau, Padang), kami mendesak pemandu pelancong membawa kami ke pantai Malin Kundang. Pada percutian sebelum ini kami tidak sempat singgah di sana. Rupa-rupanya pemandu pelancong itu keberatan untuk membawa kami kerana keadaan jalan yang sangat curam dan bahaya. Dia tidak berjanji, tetapi katanya bergantung kepada keadaan cuaca. Jika cuaca elok maka kami akan dibawa ke sana. Alhamdulillah, hari itu sangat cerah dan hajat kami hendak ke pantai Malin Kundang termakbul. Berdasarkan pembentukan batuan di pantai itu, memang kelihatan seperti kapal pecah. Ada batu yang betul-betul menyerupai  badan manusia yang terlangkup dan peralatan dalam kapal. Tetapi ada juga peralatan tambahan yang sengaja dibuat-buat untuk menunjukkan keadaan tersebut. Semuanya sudah tidak asli lagi akibat kegatalan tangan manusia.
Tali ini adalah replika yang dibina semula.
Selain pantai Malin Kundang, tempat mesti tuju di Bukit Tinggi ialah Tasik Maninjau. Di sini letaknya rumah Buya Hamka, seorang penulis dan ulama terkenal di Indonesia dan nusantara. Karya agungnya ialah 'Tenggelamnya Kapal Van Der Vick'. Laluan ke sana juga adalah sangat curam. Terdapat 42 keluk tajam yang perlu dilalui. Jika anda tidak tahan melaluinya, mintalah pemandu berhenti seketika untuk berehat dan mengambil gambar pemandangan yang menakjubkan dari atas bukit.
Pemandangan Tasik Maninjau.
Sebelum ke sini saya tidak pernah membaca karya allahyarham. Di sini ada dijual bukunya tetapi kualiti cetaknya tidak bagus (seperti fotostat) dan jilidannya bercerai selepas dibuka. Saya tidak jadi membelinya. Sebaliknya saya beli di Gramedia, Padang. Memang karyanya sangat bagus, hidup dan mengesankan. Saya terbayang-bayang kehidupan di Bukit Tinggi seperti yang digambarkannya dalam buku tersebut.

Jika ke Bukit Tinggi, jangan lupa juga singgah di Sulaman Rosmah. Di belakang rumahnya, Hajah Rosmah menyediakan kelas untuk gadis-gadis belajar menyulam. Hasilnya dipamer dan dijual di situ. Sulamannya sangat halus. Saya tidak pasti sama ada di Malaysia masih ada atau tidak kelas mengajar sulaman seperti ini. Jika ada yang masih arif tentang sulaman tradisional ini, eloklah diturunkan ilmu itu pada gadis-gadis yang minat belajar menjahit seni sulaman. Jika tidak ia akan pupus dan kita akan bergantung sepenuhnya pada sulaman dari Bukit Tinggi, Indonesia. Semasa mudanya, emak saya juga mengikuti kelas seperti ini. Tetapi apabila sulaman ini tidak popular lagi, aktiviti itu terhenti sendiri. Rasanya ia patut diteruskan sebagai warisan budaya orang-orang kita kerana motif yang diketengahkan juga menonjolkan budaya orang kita.
Kelas menjahit sulam di Sulaman Hajah Rosmah.
Pada sebelah malam, oleh sebab tidak berbuat apa-apa kami ditawarkan oleh pemandu pelancong untuk menonton persembahan tradisional. Ini merupakan aktiviti tambahan, tidak termasuk dalam itinerari. Kelainan tarian selain tarian endang ialah penari wanita yang menari atas pecahan kaca tanpa menunjukkan riak sakit atau luka kakinya.
Beranikah anda menari atas pecahan kaca ini? Don't try this at home ..
Banyak lagi sebenarnya keunikan yang ada di negara orang. Di Bukit Tinggi juga saya pertama kali mendengar tentang kerepek kulit sapi dan kulit kerbau. Tetapi saya tidak berani hendak mencubanya.



Ahad, 29 September 2013

Bagaimana membuang angin dalam badan

Teks: Rozida Ismail

Assalamualaikum,
Saya sebenarnya tiada masalah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Tetapi, di hospital pantangnya terlalu banyak, sehingga saya tidak lalu makan kerana pagi petang siang malam disogokkan dengan menu yang sama. Sehingga terbau sahaja makanan itu, tekak saya terasa mual dan hendak muntah. Terpaksalah menyuap buah sahaja (itu pun setiap hari hanya tembikai sahaja dihidangkan!) bagi mengisi perut yang lapar. Dugaan ... Tetapi saya menerimanya dengan reda. Segala yang diberi Allah SWT pasti bersebab. Nasib baik juga kita sebagai umat Islam telah diajar berpuasa dan kita baharu sahaja selesai menjalani ibadah puasa. Perut sudah biasa bertoleransi dengan kelaparan. Namun ada satu lagi masalah, badan saya masuk angin sehingga menjadikan saya lemah. Pulang ke rumah, saya cuba bersenam tetapi hendak bersenam pun tidak berdaya kerana sakit-sakit badan. Saya menggoogle, mencari petua untuk menghilangkan angin di badan. Antara petua yang saya jumpa ialah petua Saidina Ali. Katanya cium epal dan makanlah epal itu. Saya belum berkesempatan lagi melakukannya.

Akhirnya saya ternampak teh herba 4life yang belum sempat saya cuba. Maklum sahaja, ketika membeli pakej supplemen 4life, saya mesti berpantang daripada mengambil makanan herba. Jadi saya tangguhkan dahulu pengambilannya. Semalam  saya sudah tidak keruan, saya mesti membuang angin dalam badan kerana badan saya semakin lemah. Akhirnya saya mengambil seuncang teh herba itu, dicelup ke dalam air panas selama 4 - 6 minit dan minum selepas makan malam. Awal pagi perut sudah memulas, minta dikeluarkan segala isinya. Alhamdulillah, apabila semuanya telah dikeluarkan badan terasa segar semula.
Teh herba 4life, banyak khasiatnya.

Sebenarnya antara fungsi utama teh ini ialah menyahtoksin dan mencuci sistem pencernaan kita. Saya dapat merasakan kelegaan sistem pencernaan saya. Semua gas yang meresahkan keluar (maaf ya ..). Teh ini juga boleh mengawal berat badan kerana ia mampu membantu menyerap nutrien dengan baik. Lebih penting daripada itu, ia juga memperbaik sistem imunisasi diri kita. Seperti saya, rawatan yang dijalani merosakkan segala yang buruk dan baik pada badan. Jadi, saya memang memerlukan supplemen untuk memperbaiki mana yang telah dirosakkan. Insyaa Allah, berusaha, berikhtiar dan bertawakallah untuk mengembalikan kesihatan. Setiap penyakit ada ubatnya.

Teh ini juga mengandungi epal hijau. Seperti petua Saidina Ali, cium dulu dan kemudian makan epal untuk membuang angin, saya fikir petua itu memang tepat. Mari kita cuba sama-sama dan kongsikan hasilnya. Barulah anak-anak tidak menjadi mangsa angin satu badan!

Jika anda ingin mencuba teh herba 4life ini, bolehlah hubungi saya menggunakan kotak Order Form di sebelah entri ini.

Jumpa lagi!

Sabtu, 28 September 2013

Ulasan Novel Dari Milan ke Maran

Pengulas: Rozida Ismail
Judul: Dari Milan ke Maran
Penulis: Norhayati Berahim
Bil Hal: 1040 ms
Harga: RM32.90 (S) RM35.90 (S&S)
Penerbit: NB Kara Sdn Bhd

Akhirnya saya berjaya menyudahkan bacaan 'Dari Milan ke Maran'! Rasanya inilah novel yang paling tebal pernah saya baca setakat ini. Sebenarnya saya suka membaca karya Norhayati Berahim kerana beliau suka membawa tema dari luar negara. Banyak yang dapat dipelajari daripada novel ini, hal agama, politik, alam sekitar dan sebagainya. Banyak juga diceritakan pasal makanan, hingga tatkala saya berpantang di hospital, nama Bukit Terung pun boleh membuatkan saya terliur. Sesungguhnya penulis ini banyak membuat kajian ketika menghasilkan karyanya. Syabas atas kesungguhan itu. Mungkin juga ia terhasil daripada pengalaman sebenar penulis berada di luar negara kerana apa yang diceritakannya sangat hidup.

Bagi yang belum membaca novel ini, saya ceritakan sedikit sinopsisnya. Cerita berkisar pada seorang lelaki lembut yang memang gemar memakai pakaian wanita sehingga sanggup memakai kasut tumit tinggi berwarna pink ketika bercuti di Milan. Di sini beliau bertemu dengan seorang wanita sehingga membawa ke jinjang pelamin. Bagaimana mereka boleh disatukan? Bacalah buku ini sendiri, tidak adil kalau saya mendedahkan kesemuanya. Kadang-kadang saya tersenyum membaca tingkah Moon yang cerewet melampau tatkala menjadi suami. Saya terbayang, jika buku ini dijadikan tele-novela, pastinya lucu melihat tingkah Moon dan Sharmin di rumah sebagai suami isteri. Rasanya itulah episod yang dinanti-nanti oleh peminat untuk melihat kekecohan Moon. Siapa agaknya aktor yang sesuai menjadi Moon ya .. Mungkin watak itu boleh diberi pada Fahrin Ahmad atau Farid Kamil kerana mereka belum pernah memegang watak seperti itu. Tetapi di akhir cerita, Moon memang benar-benar menjadi lelaki sejati.


Keseluruhan novel ini disampaikan dengan baik maklum sahaja daripada penulis yang prolifik. Ceritanya lancar, tetapi ada sedikit keraguan kerana watak-watak dalam cerita ini semuanya bijak-bijak belaka walaupun Pak Mahad, bapa tiri Sharmin yang hanyalah petani. Beliau boleh bercakap tentang satu dapatan berdasarkan peratus. Selalunya seorang petani tidak mahu ambil kisah tentang peratusan. Mungkin itu petani bayangan penulis, mahu semua orang mengambil berat tentang apa sahaja yang berlaku, bukan sahaja di lingkungan kehidupannya. Kadang-kadang saya rasa, semua watak dalam novel ini adalah sama tahap pemikirannya. Kedua, watak Johan seperti tidak ada kesudahan. Apa yang berlaku padanya? Mungkin setelah melihat kegagahan Ismail mempertahankan Sharmin, dia mengundurkan diri tetapi dinyatakan dendamnya masih membara. Ketiga, bagaimana Chong Heng boleh memeluk Islam dan kemudian bertemu jodoh pula dengan adik Moon. Keempat, Muin pula boleh bertemu jodoh dengan June. Nampaknya, mudah sahaja jodoh mereka diatur, dalam lingkungan watak-watak utama sahaja. Kalau dalam drama atau filem, saya selalu membayangkan begini, "ooh .. nak save budget, ambil sahaja pelakon yang sama untuk menamatkan cerita." Saya harap jika novel ini dijadikan tele-novela nanti, sub-plot ini bolehlah diwujudkan bagi memperkemaskan cerita. Akhir sekali, suntingan atau pembacaan pruf yang tidak teliti sedikit mencacatkan bacaan. Banyak kesilapan ejaan dan ada ayat tergantung di penghujung bab. Ini sebenarnya kerja pre-press. Agaknya sudah terlalu tebal menjadikan mereka tidak perasan lagi akan kesilapan ejaan dan kehilangan ayat pada baris terakhir itu. Memang bukan mudah untuk menyunting dan membaca pruf karya yang tebal jika tidak penuh dengan kesabaran dan ketekunan. Apatah lagi jika mengejar deadline! Entah berapa lama mereka mengerjakan novel ini, baik penulis, penyunting, mahupun pre-pressnya. 

Mohon maaf jika ulasan saya menyentuh hati mana-mana pihak. Tetapi niat saya ikhlas, ingin membantu memperkemaskan karya. Jika novel ini diulang cetak, bolehlah dibetulkan dulu kesemua kesilapan pre-press itu. Mungkin orang lain tidak kisah, tetapi sebagai penerbit saya amat kisah.