Sabtu, 30 November 2013

Tapai Pulut

Teks: Rozida Ismail



Sekali ini teringin pula berkongsi resipi tradisional. Saya tidak pasti adakah orang zaman sekarang masih sukakan tapai pulut. Di kampung saya, permintaannya masih ada. Emak saya seorang yang pakar dalam penyediaan tapai pulut. Setiap kali ada majlis kenduri atau perkahwinan, emak akan sibuk menyiapkan tempahan tapai pulut. Ini kerana tapai pulutnya memang manis dan sedap. Tetapi emak tidak berniaga, hanya suka-suka membantu jiran-jiran. Jadi dia hanya mengambil modal dan upahnya terserah kepada pelanggan. Ipar saya mempelajari resipinya dari emak dan berniaga secara kecil-kecilan. Sambutannya memang menggalakkan.

Walau bagaimanapun, membuat tapai bukanlah semudah resipinya. Kadang-kadang tidak menjadi, yakni pulutnya keras, tapai masam atau rasanya tidak manis. Pernah juga cubaan emak tidak menjadi, mungkin kerana raginya tidak bagus. Emak memilih ragi seketul-seketul, bukan yis yang dijual di kedai. Selalunya dia mendapatkan bekalannya di pasar tani. Di sini saya sertakan resipi emak, jika anda mahu mencuba.

Resipi Tapai Pulut

Bahan-bahannya:
1 kg beras pulut
Ragi sebesar ibu jari

Cara-caranya:
1. Tanakkan pulut. Kaut ke dalam dulang, ratakan dan sejukkan.
2. Hancurkan ragi dalam penapis teh, dan tabur pada pulut.
3. Kaup dan balikkan pulut. Taburkan ragi sekali lagi. Ulangi proses yang sama hingga ragi habis.
4. Pindahkan pulut ke dalam bekas bertutup dan peram selama 3 hari dalam suhu bilik.
5. Apabila tapai telah menjadi, bolehlah dipindahkan dalam peti sejuk.
Tapai ini saya nikmati di sebuah restoran. Sedap! Kerana itu saya teringatkan air tangan emak dan bila balik kampung, terus bertanyakan tentang rahsia tapainya. 
Teringin pula nak berniaga tapai emak. Jika anda ingin mengadakan majlis dan mahu menempahnya, bolehlah hubungi saya ya.. tetapi di sekitar Lembah Klang sahaja.

Isnin, 25 November 2013

Urumqi

Teks: Rozida Ismail

Urumqi ialah ibu negara Xinjiang, salah satu wilayah di utara China. Memang nama wilayah ini terasa begitu asing di telinga walaupun saya dahulunya editor Geografi. Bahkan juga tidak pernah terlintas untuk ke sana satu hari nanti. Namun siapa pun tidak berdaya melawan suratan takdir. Selepas melahirkan permata keempat, saya dipelawa untuk ke sana selama lima hari. Itulah rezeki anak namanya.

Apa yang menarik tentang Urumqi ialah populasinya terdiri daripada sebahagian besar orang Islam. Wilayah Xinjiang bersempadan dengan Kazakhstan.  Oleh itu tidak hairanlah cara berpakaian, makanan dan berbahasa serta budaya orang Islam Urumqi adalah ala-ala Timur Tengah. Pertama kali tayar kapal terbang yang saya naiki mendarat di bumi Urumqi, saya terpandang tulisan Urumqi dalam tulisan jawi. Satu kelainan apabila berada di negara China. Semasa di ruang menunggu airport juga wajah-wajah yang kelihatan adalah cantik-cantik belaka (gadis-gadisnya). Mereka memandang saya dan rakan penuh curiga kerana bahasa yang kami gunakan ketika berbual adalaah bahasa Melayu. Mungkin begitu asing di pendengaran telinga mereka.

Sepanjang perjalanan ke hotel, kelihatan banyak peniaga roti naan dan kambing panggang. Ramai peniaga adalah Islam dan kami mudah mencari makanan halal. Malah pemandu kami juga Islam, bernama Ismail. Malangnya Ismail ini kurang menghayati Islam. Apabila ditanya waktu solat di situ, dia terpaksa menelefon ibunya. Menu kambing panggang menjadi hidangan harian kami sepanjang berada di situ kerana rasanya sedap dan tidak hamis. Dagingnya putih kerana ia kambing hawa sederhana.

Saya juga berkesempatan menonton persembahan kebudayaan di Urumqi. Jika tidak silap, tiket menonton di ruang terbuka dan buffet dinner berharga 138 yuan. Lebih kurang RM70. Seperti biasa, penonton akan dipertunjukkan dengan persembahan akrobatik terlebih dahulu. Persembahan bermula jam 7 malam. Tetapi oleh sebab ketika itu bulan Jun, jam 7 malam adalah seperti pukul 5 petang. Matahari merangkak senja hampir jam 10 malam.


Saya juga berjalan ke kaki banjaran Tianshan. Pemandangan sungguh menarik, cuacanya dingin dan nyaman. Walaupun jaraknya agak jauh, tetapi ia sangat menyeronokkan. Kami singgah makan tengahari di sebuah khemah Mongolia. Begitu banyak menu tempatan dihidangkan. Tetapi bayar apa yang dimakan sahaja.


Persembahan kebudayaan dari Urumqi. Jam sudah melebihi 8 malam, tetapi matahari masih menyinar.


Sabtu, 23 November 2013

Kamishibai

Teks: Rozida Ismail

Pernah dengar perkataan ini? Apa agaknya yang terlintas di hati anda ketika membaca perkataan tersebut buat pertama kalinya? Ya... ia memang perkataan Jepun yang membawa maksud "menunjukkan gambar sambil bercerita".

Jika di negara kita orang dulu-dulu menggunakan wayang kulit untuk bercerita tetapi di Jepun mereka menggunakan kotak yang dimasukkan kad-kad gambar. Gambar ini ditarik satu persatu untuk menunjukkan jalan cerita. Di Jepun, pencerita membawa kotak yang dipanggil butai ini dengan basikal memasuki kampung-kampung. Tujuannya ialah untuk berniaga gula-gula. Kamishibai digunakan untuk menarik perhatian kanak-kanak.

Saya berkesempatan melihat persembahan kamishibai oleh wakil dari IKAJA (The International Kamishibai Association of Japan). Persembahannya ringkas tetapi menarik. Jika kita yang dewasa ini tertarik dengan cerita yang disampaikan, apatah lagi kanak-kanak. Meskipun kanak-kanak dewasa ini lebih melekat dengan gajet seperti telefon pintar, komputer dan tablet, tetapi saya yakin jika mereka diberi peluang menonton persembahan kamishibai, pasti mereka juga akan sukakannya. Yang penting interaksi dan komunikasi antara pencerita dengan penonton dapat diwujudkan. Pencerita juga berperanan memainkan emosi kanak-kanak.


Bukan hendak mengagung-agungkan budaya luar, tetapi yang baik elok diambil sebagai pengajaran. IKAJA sangat aktif mempromosi budaya mereka ke mata dunia. Selain memperkenalkan kamishibai, peserta bengkel juga diajar untuk menulis cerita kamishibai berdasarkan cerita dongeng Malaysia. Mungkin teknik penceritaan seperti ini boleh diguna pakai untuk mengeratkan hubungan manusia-manusia dan meregangkan sedikit keeratan antara kanak-kanak dengan gajet pintar.

Isnin, 18 November 2013

Cara Menguruskan Pertukaran Sekolah

Teks: Rozida Ismail

Pengalaman ini mungkin berguna bagi ibu bapa yang hendak mendaftarkan anaknya untuk memasuki sekolah menengah. Sebelum cuti sekolah bermula, anak-anak yang berada di Tahun 6 diberikan oleh guru masing-masing borang penempatan sekolah menengah. Ibu bapa perlu mengisi borang tersebut, memilih sekolah yang berdekatan dengan rumah atau mengikut keutamaan masing-masing, dan mengembalikan borang tersebut kepada pihak sekolah. Kemudian, surat tawaran penempatan akan diberikan kepada ibu bapa, juga melalui anak-anak. Ibu bapa perlu mendaftarkan penempatan sekolah menengah di sekolah yang dipilih dalam tempoh 2 minggu, iaitu seminggu sebelum dan selepas sekolah mula bercuti. Tempoh ini mungkin berbeza mengikut daerah atau negeri. Perkara yang perlu dibawa (dinyatakan dalam surat) ialah salinan surat beranak atau kad pengenalan murid serta salinan slip menduduki peperiksaan UPSR atau slip keputusan UPSR. Murid juga perlu hadir dengan pakaian sekolah. Walau bagaimanapun, ketika hadir untuk mendaftar anak saya tidak memakai seragam sekolah, malahan jika tidak membawa anak pun tidak mengapa. Saya musykil juga sebenarnya dengan tujuan meminta anak hadir dengan pakaian sekolah. Pendaftaran begitu mudah, tidak sampai 5 minit. Yang diambil cuma salinan keputusan UPSR (berguna untuk penempatan kelas). Salinan surat beranak dikembalikan semula. Kemudian, kerani akan memberi surat makluman panggilan untuk pendaftaran Tingkatan 1 ketika sekolah hampir dibuka kelak. Selesailah sudah pendaftaran tersebut.

Saya kemudiannya bergerak ke sekolah rendah agama anak saya untuk mengambil sijil-sijil berkaitan. Ketika berbual dengan guru agama anak saya, dimaklumkan bahawa sekolah menengah yang saya pilih tidak mempunyai aliran agama (untuk Kelas Rancangan Khas). Sebaliknya, ada sekolah menengah kebangsaan yang berhampiran menawarkan kelas tersebut. Oleh sebab keputusan UPSR dan peperiksaan kelas agama anak saya sangat baik dan kecenderungannya adalah dalam bidang agama, maka saya membuat keputusan untuk menukarkan sekolahnya pada hari yang sama. Saya kembali ke sekolah menengah tersebut untuk memaklumkan tentang pertukaran yang ingin dibuat. Saya diminta mengisi borang dan menyatakan sebabnya.         Kerani menaip segala butiran dan borang dicetak 3 salinan. Selepas ditandatangani oleh Pengetua dan saya, saya diminta ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk menghantar permohonan tersebut. Bergegaslah pula saya mencari PPD yang tidak dapat dikesan oleh GPS kereta saya (mungkin sebab GPS tidak diupdate...). Selepas hampir 40 minit mencari (dengan bantuan peta di handphone) akhirnya saya berjumpa dengan PPD tersebut. Baru sahaja hendak memasuki perkarangan PPD, saya dihubungi kerani sekolah memaklumkan bahawa saya tidak perlu ke PPD, tetapi hanya menghantar semula borang tersebut dengan salinan-salinan dokumen yang dikehendaki ke sekolah. Sekolah akan menguruskan penghantaran permohonan pertukaran secara berkelompok. Hmm ... tak apalah, kena berfikiran positif! Sekurang-kurangnya selepas ini saya tahu di mana duduknya PPD di tempat saya ini :)

Nasihat saya, jika anda ingin mendaftarkan anak di sekolah menengah, semak dahulu aliran yang ditawarkan di sekolah tersebut. Ini memudahkan anda untuk membuat pendaftaran tanpa perlu menguruskan pertukaran sekolah seperti saya. Jika terpaksa menukar sekolah, sediakan dokumen-dokumen sokongan yang berikut:
Maaf, visual kurang jelas.

Sabtu, 16 November 2013

Tahniah Anak-anak UPSR!

Teks: Rozida Ismail

Pada 14 November lalu berakhirlah penantian anak-anak yang menduduki peperiksaan UPSR. Keputusan telah pun diumumkan. Tiada apa lagi yang harus ditangiskan, terimalah hakikat seadanya. Mungkin yang beria-ia menangis itu kerana tidak mempercayai keputusan sebegitu yang akan didapati. Sudah bersungguh-sungguh berusaha tetapi masih tidak berjaya mendapat 5A. Tidak mengapa sebenarnya anak-anak kerana jika sudah berusaha, pastilah ada sebab-sebabnya mengapa Tuhan menganugerahkan sedemikian.

Saya ingin berpesan pada anak-anak khususnya yang tidak berjaya merangkul 5A. Keputusan itu bukanlah segala-galanya. Tidak perlu terlalu bersedih. Yang penting, kuatkan tekad untuk terus berusaha menggapai apa yang dicita-citakan. Ini baru permulaan. Sesungguhnya perjalanan anak-anak masih jauh. Banyak lagi laluan dan rintangan yang perlu dilalui.

Sebenarnya saya lebih suka sistem PBS sekarang yang menilai keupayaan pelbagai aspek pelajar. Kadang-kadang sesetengah pelajar tidak suka membaca. Daya tumpuan seseorang memang berbeza. Ada yang tidak boleh duduk diam lama-lama mendengar penerangan guru. Ada yang lebih mudah menangkap sesuatu pengajaran melalui praktikal. Ada yang tahu, tetapi tidak cekap meluahkannya di atas sekeping kertas. Ada yang gugup apabila berkejar dengan masa. Ada yang hanya pandai di atas kertas, tetapi tidak mahir bercakap. Macam-macam kelebihan yang dimiliki oleh anak-anak kita. Bukan untuk memperkecilkan anak-anak yang dapat 5A, mereka sudah tentunya pandai. Yang saya maksudkan ialah tidak semestinya tidak mendapat 5A anak-anak tidak pandai. Jadi, janganlah berasa rendah diri apabila anak-anak tidak mendapat 5A. Berusahalah lagi dengan cara anak-anak sendiri untuk menjadi terbaik dalam bidang yang diminati. Suka bermain bola, jadilah pemain bola yang handal seperti Rudie Ramli . Suka memasak, jadilah chef hebat seperti Chef Wan. Tidak seperti dulu, asal menyebut tentang cita-cita pastilah anak-anak akan menyebut untuk menjadi guru, doktor, polis dan sebagainya yang hanya dekat di persekitaran anak-anak. Sebaiknya kenali minat dan kecenderungan sejak dari kecil dan terus tujui apa yang dicita-citakan dari kecil lagi.  Tidak salah jika sukakan sesuatu yang nampak mudah seperti suka memancing. Jika suka sangat, pelajari sedalam-dalamnya minat itu dan apabila sudah dewasa nanti bukalah kedai menjual peralatan memancing. Anak boleh menjadi penasihat yang baik kepada kaki pancing. Kesimpulannya, teruskan minat dan  jadikan minat itu sebagai profesion.

Selasa, 12 November 2013

Dato' Lat

Teks: Rozida Ismail

Gaya seorang kartunis yang sentiasa ceria. Gambar koleksi MyIPO
Siapa boleh cam orang dalam gambar di atas? Mungkin hari-hari anda tengok kartunnya di surat khabar, di TV (dalam rancangan kartun 'Kampung Boy'), di bill board dan sebagainya. Tapi wajahnya amat jarang dilihat. Sudah berpuluh tahun Dato' Lat melukis kartun. Katanya sejak tahun 1964 lagi (hampir 50 tahun!). Ketika itu beliau masih di bangku sekolah. Kartunnya yang pertama keluar di majalah dan dia mendapat bayaran RM25. Bayaran itu sangat banyak untuk zaman itu. Ceritanya, dia menunaikan cek di bank bersama ibu dan adiknya dan kemudian menggunakan duit itu untuk menonton wayang. Tetapi yang menimbulkan kelucuan ketika bercerita ialah bagaimana dia ditahan oleh jaga dan office boy bank ketika menunaikan cek tersebut. Untuk membaca kisah Dato Lat, bolehlah rujuk pada wikipedia.

Dato Lat ialah seorang kartunis yang amat berjaya di Malaysia. Bayangkan, lukisan kartunnya yang unik mudah dikenali dan tidak ditiru sesiapa. Hebatnya Dato Lat kerana lukisannya mampu terjual menjadi suatu jenama yang cukup popular sehingga dibawa terbang ke Manchester!
Nampak tak lukisan kartun Dato' Lat pada kapal terbang Air Asia ini? Gambar ini diambil dari wikipedia, oleh sebab terlalu kecil maka saya besarkan saiznya. Kerana itu, ia agak kurang jelas.
Kehebatan kartun Dato' Lat ialah kerana ia menampilkan jati dirinya sendiri. Kisah-kisah yang dipaparkan dalam kartunnya ialah situasi semasa yang boleh diterima oleh semua golongan masyarakat. Inilah sebab sebenar mengapa kartun Dato' Lat sentiasa melekat di hati semua orang. Dia menyentuh isu semua bangsa membuatkan kita saling mengenali antara satu sama lain. Selain anugerah tertinggi dengan gelaran Dato' daripada Sultan Perak, saya rasa Dato' Lat sesuai dijadikan icon 1Malaysia. 

Kenapa saya bercerita tentang Dato' Lat? kerana baru-baru ini saya berpeluang mendengar ceramahnya. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya mendengar ceramah daripada Dato' Lat, malah saya pernah berbincang secara berhadapan dalam satu mesyuarat. Apa yang saya dapat rumuskan tentang individu yang berjaya di peringkat antarabangsa ialah kecekapan mereka menggunakan bahasa Inggeris. Jika kemahiran berbahasa ada pada seseorang maka akan mudahlah dia dibawa ke peringkat yang lebih jauh. Fikir-fikirkan ..

Ahad, 10 November 2013

Sehari bersama M. Nasir

Teks: Rozida Ismail

Gambar terkini M. Nasir yang dipetik dari website MyIPO ketika konferens tersebut.
Baru-baru ini saya berpeluang menghadiri konferens tentang harta intelek di Kuala Lumpur. Konferens dua hari ini membincangkan bagaimana hendak menilai harta intelek dan menjadikan ianya sebagai satu daripada aset yang boleh dicagarkan jika membuat pinjaman bank. Menarik, bukan? Jadi, kepada pengkarya atau penulis janganlah jemu berkarya kerana itu adalah satu daripada harta anda.

M. Nasir dijemput sebagai seorang penceramah yang menyampaikan ceramahnya secara santai. Beliau dijemput berceramah ketika semua peserta makan tengah hari. Sambil-sambil makan, sambil mendengar celotehnya tentang bagaimana beliau menggunakan kreativitinya sebagai harta intelek. Tidak dinafikan bahawa M. Nasir seorang budayawan yang hebat, beliau pandai melukis, bermain muzik, mencipta lagu, menulis lirik dan menyanyi. Beliau juga seorang pelakon tetapi setakat yang saya tahu masih belum pernah mengarah drama atau filem. Sewaktu saya masih di bangku sekolah, M. Nasir sudah mula menghasilkan album dan saya masih ingat lagi kulit albumnya menggunakan nama Mohamad M. N. Tidak pula saya pasti kenapa dia menggunakan nama tersebut. Tetapi ketika itu beliau tidak begitu dikenali. Namanya melonjak apabila menggunakan nama M. Nasir. Kadang-kadang nama juga membawa tuah. Mungkin kerana huruf singkatan di hujung tidak digunakan oleh mana-mana artis sebelum ini. Lihat sahaja artis dulu, P. Ramlee, A. Ramlee, L. Ramli (punyalah ramai artis bernama Ramli ...) semuanya menggunakan singkatan huruf di pangkal nama. Malahan sudah menjadi trend pada zaman itu. M. Nasir cuba menongkah arus dengan meletakkan singkatan di hujung, tetapi nampaknya tidak menjadi.

Sebagai penyanyi, M. Nasir pandai melontarkan suara tetapi sebagai penceramah beliau agak sangkut-sangkut. Bukan semua orang pandai berceramah dengan lancar. Yang membuat saya tergelak (dalam hati) ialah ketika beliau berceramah, kedengaran bunyi sudu garfu berlaga kelentung kelentang seperti background music pula. Isi ceramahnya bagus, menceritakan bagaimana dia bermula dan di mana dia sekarang. 

Menurut M. Nasir, beliau bermula dengan menulis lirik lagu untuk Alleycats. Untuk lirik itu beliau dibayar RM30 sahaja. Ketika itu beliau tidak menjangka yang lagu Alleycats itu akan menjadi hit kerana asalnya lagu itu hanya dianggap sebagai filler sahaja, bermaksud setakat mencukupkan lagu dalam satu album. Jika dia mengambil royalti sudah pastilah beliau akan mendapat lebih banyak lagi kerana lagu itu juga turut dinyanyikan oleh Jamal Abdillah. Biarpun M. Nasir tidak menyatakan tajuk lagu itu, tetapi saya agak lagu itu ialah "Senandung Semalam". Kerana baik Alleycats mahupun Jamal, kedua-duanya menyanyikan dengan amat baik sekali. Lagu ini juga dinyanyikan oleh Teresa Teng, seorang penyanyi Taiwan. Kemudian beliau mencipta lagu untuk kumpulan Flybaits pula, dan dibayar royalti sebanyak 6% daripada harga sebuah album. Tetapi royalti ini perlu dibahagi-bahagikan dengan semua penyumbang lagu dalam album tersebut. Tidak banyak yang diperolehnya kerana terpaksa berkongsi dengan penerbit pula. Akhirnya beliau menubuhkan syarikat sendiri iaitu Luncai Emas Production. 

Apa yang menarik tentang M. Nasir bagi saya ialah kerana dia berkongsi tarikh lahir yang sama dengan saya (tarikh 4 Julai). Tarikh ini juga merupakan hari kebangsaan Amerika Syarikat. Kebetulan pada hari itu saya duduk bersebelahan meja dengan M. Nasir. Selepas memberi ceramah, beliau kembali ke meja makan dan bersalaman dengan peserta yang berada di meja saya. Saya berdiri untuk mengambil gambar bersamanya. Dia juga sudah bersedia untuk bergambar. Tetapi ...

Sebaik sahaja rakan saya cuba menekan touch screen, tiba-tiba bateri habis ... :(
Hanya gambar ini yang sempat dirakam oleh kamera telefon saya sebelum bateri habis.